Kerajaan diharap sediakan kemudahan asas di perumahan Sabah Maju Jaya

LocalPolitics
27 Mar 2025 • 3:08 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Iskandar Dzulkifli

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri dan agensi berkaitan diharap dapat menyediakan kemudahan asas bekalan air dan elektrik di perumahan Sabah Maju Jaya (SMJ) di Kampung Lok Kawi, di sini.

Adun Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Sahari berkata, ia perlu bagi memenuhi keperluan penerima bantuan rumah SMJ yang akan tinggal di kawasan itu dalam masa terdekat.

Katanya, perumahan pertama seumpamanya di Sabah yang kini dalam proses pewartaan itu diwujudkan bagi membantu penerima bantuan berkenaan yang tidak memiliki tanah atau tapak sendiri.

“Memandangkan perumahan Rumah SMJ di Dun Petagas ini satu perkampungan baharu, sudah tentu tidak mempunyai jaringan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik yang sempurna.

“Justeru, diharap kerajaan negeri dan agensi terlibat dapat membantu untuk selesaikan isu ini bagi memastikan matlamat membantu golongan miskin melalui Rumah SMJ tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor di Masjid Nur Al-Jannah Kampung Petagas, di sini, Selasa.

Awang berkata, perumahan Rumah SMJ berkeluasan dua hektar itu mampu memuatkan lebih 100 rumah, sekali gus membantu ramai penerima yang tidak memiliki tapak di Dun Petagas.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, ketiadaan tapak rumah merupakan masalah yang dihadapi sebahagian besar penerima bantuan itu yang terdiri daripada golongan miskin.

“Inilah dilema yang dihadapi sebahagian besar penerima bantuan ini kerana tanah pun tidak ada apatah lagi tapak untuk buat rumah, jadi bagaimana kita mahu bantu bina Rumah SMJ mereka?.

“Melalui perkampungan ini, kita dapat bantu lebih ramai golongan miskin supaya bantuan Rumah SMJ ini mencapai matlamatnya dan beri manfaat tanpa ada halangan khususnya di Dun Petagas,” tegasnya.

Terdahulu, Hajiji turut berkesempatan menyempurnakan simbolik penyerahan kunci Rumah SMJ kepada penerima dan menyampaikan bantuan tunai Dun Petagas kepada kira-kira 400 penerima di majlis itu.