
PUTATAN: Kerajaan Sabah sedang giat berusaha untuk menaiktaraf jalan raya, khususnya jalan-jalan luar bandar di negeri ini.
Mengulas seorang penceramah terkenal Syamsul Debat yang bercerita mengenai pengalamannya melalui jalan raya yang teruk di daerah Pitas, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihak kementeriannya sedang menilai jalan-jalan luar bandar yang perlu dinaiktaraf.
"Justeru, beberapa jalan di sekitar Ranau dan Pitas sudah diberi kontrak untuk dinaik taraf, tetapi jalan yang dimaksudkan oleh penceramah Syamsul Debat, saya belum pasti sama ada ia termasuk dalam projek naik taraf ini.
"Bagaimanapun, kita akan berusaha untuk menaiktaraf jalan-jalan luar bandar yang berada dalam keadaan teruk, tetapi ini bergantung kepada peruntukan semasa dari tahun ke tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Upacara Pecah Tanah Kompleks Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah di Taman Pantai Lok Kawi dekat sini pada Jumaat
"Projek naiktaraf jalan raya ada yang sudah bermula pembinaannya di kawasan luar bandar. Jalan-jalan ini mempunyai klasifikasi jalan luar bandar dan termasuk dalam senarai Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Selain itu, ada jalan yang sebenarnya jalan balak dan belum dimasukkan dalam senarai JKR, tetapi ia turut digunakan oleh penduduk kampung yang membina rumah setelah jalan ini dibuka.
“Inilah antara cabaran kita iaitu untuk melihat sama ada jalan-jalan ini memang sudah dimasukkan dalam senarai JKR atau belum," jelasnya.
Baru-baru ini tular di media sosial TikTok, penceramah Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat bercakap mengenai pengalaman beliau semasa mengadakan lawatan dakwah ke sebuah kampung di kawasan pedalaman Pitas.
Dalam video berdurasi 3.50 minit itu, beliau berkata, jalan masuk ke kampung tersebut sangat sukar dengan keadaan jalan raya yang teruk dan tidak boleh dilalui semasa hujan.
Syamsul berharap pihak berkenaan tampil untuk memperbaiki atau menaik taraf jalan tersebut dengan segera.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


