Kerajaan Hong Kong Longgarkan Syarat Kemasukan, Benarkan Lawatan Berkumpulan

Travel
12 Nov 2022 • 6:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pelancong secara berkumpulan dibenarkan untuk melawat metropolitan yang pernah berada di bawah jajahan British itu. - Gambar hiasan Unsplash 

Satu demi satu sekatan perjalanan mula dimansuhkan menginjak ke 2023. Terbaharu, pada 7 November lalu, kerajaan Hong Kong telah mengumumkan bahawa pelancong atau pengembara secara berkumpulan dibenarkan untuk melawat metropolitan yang pernah berada di bawah jajahan British itu. 

Bagaimanapun, mereka perlulah mengikut ejen pelancongan berlesen dan telah mendaftarkan jadual perjalanan mereka untuk melawati tarikan pelancong yang dibenarkan, termasuklah taman tema, muzium dan kuil, serta menjamu selera di premis katering yang ditetapkan serta memegang Kod Amber Pas Vaksin (Amber Code of the Vaccine Pass). 

Selain itu, kerajaan Hong Kong juga sedang mengkaji keizinan membenarkan pengembara secara berkumpulan untuk menjalani ujian asid nukleik yang lebih mudah untuk mengimbangi risiko wabak.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) Dr Pang Yiu-kai, dalam satu kenyataan media mengalu-alukan pengumuman terbaru kerajaan itu. 

image is not available
Gambar hiasan Unsplash

“Peraturan baharu ini menandakan Hong Kong telah kembali normal dan menghantar mesej positif kepada pengembara dan rakan dagang kami di seluruh dunia.

“Langkah ini dijangka dapat membantu menarik pelancong untuk melawat Hong Kong semula, terutamanya di kalangan pelancong  pasaran jarak dekat secara beransur-ansur.”

“HKTB akan terus bekerjasama dengan pihak kerajaan, industri pelancongan dan sektor berkaitan untuk menunjukkan tarikan pelancongan Hong Kong yang pelbagai bagi menarik minat lebih ramai pelancong untuk memacu kebangkitan semula pelancongan di Hong Kong," ujar beliau.

HKTB sentiasa bekerjasama secara rapat dengan rakan kongsi di seluruh dunia bagi memartabatkan sektor pelancongan Hong Kong. 

“Sebagai contoh, pada bulan Oktober lalu, HKTB mengadakan lebih daripada 400 mesyuarat dengan lebih 200 rakan perdagangan tempatan dan wakil dalam pasaran yang terdiri daripada pengendali pelancongan, hotel dan tarikan, untuk membincangkan peluang perkongsian bagi bersiap sedia untuk membawa pulang pelawat setelah begitu lama menutup pintu sempadan. - Getaran, 12 November 2022

View Original Article