Kerajaan kaji pinda undang-undang tangani bekas suami culas bayar nafkah - Marhamah

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 11:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan kaji pinda undang-undang tangani bekas suami culas bayar nafkah - Marhamah
Marhamah menjawab soalan semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menyediakan cadangan pindaan undang-undang tatacara mal Mahkamah Syariah bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap individu terutamanya bekas suami yang sengaja ingkar perintah pembayaran nafkah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, cadangan pindaan itu sedang diusahakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bersama Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi menambah baik peruntukan undang-undang sedia ada.

Kata beliau, penelitian turut memberikan tumpuan kepada prosedur penguatkuasaan supaya tindakan terhadap pihak yang gagal mematuhi perintah nafkah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“JKSM bersama Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan kini sedang mengambil tindakan untuk menyediakan cadangan pindaan terhadap undang-undang tatacara mal Mahkamah Syariah yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan.

“Cadangan pindaan ini turut memberikan perhatian kepada isu ketidakpatuhan terhadap perintah pembayaran nafkah yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Syariah, termasuk meneliti ruang penambahbaikan peruntukan dan prosedur penguatkuasaan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin berhubung tindakan tegas terhadap bekas suami yang sengaja melengah-lengahkan perbicaraan atau gagal mematuhi perintah pembayaran nafkah.

Menjawab pertanyaan mengenai kebajikan anak-anak yang terjejas sementara menunggu penyelesaian kes, Marhamah memaklumkan, JKSM turut meneliti penambahbaikan mekanisme pendahuluan nafkah dan bantuan kewangan kepada penerima yang layak.

Menurutnya, bantuan nafkah yang sedang diteliti itu berbentuk bantuan kewangan yang tidak perlu dibayar semula oleh penerima bagi memastikan golongan memerlukan mendapat pembelaan sewajarnya.

“Bagaimanapun, bantuan tersebut tidak menggugurkan tanggungjawab pihak yang diwajibkan membayar nafkah.

“JKSM juga akan terus memperkukuh penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah bagi memastikan hak dan kebajikan penerima nafkah sentiasa dipelihara,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved