Kerajaan kekal dasar sedia ada, pantau rapat konflik di Asia Barat - Menteri Ekonomi

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 11:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Akmal Nasrullah
image is not available
Akmal Nasrullah (dua dari kanan) merasmikan pelancaran Laporan Impak Sosioekonomi Malaysia 2025 oleh TikTok di Kuala Lumpur pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih mengekalkan dasar fiskal sedia ada di samping memantau perkembangan konflik geopolitik global bagi memastikan ekonomi negara dalam keadaan stabil.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan sedang meneliti tahap keseriusan dan jangkaan tempoh konflik di Asia Barat itu berlarutan.

Menurut beliau, senario perancangan terhadap impak konflik berkenaan telah dibuat sebagai langkah awal untuk kerajaan membuat sebarang keputusan.

"Kerajaan melihat kepada bagaimana meneruskan keyakinan dan memastikan kestabilan ekonomi itu ada.

"Semalam, perbincangan dengan wakil Kementerian Kewangan, Petronas, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Luar dibuat bagi mendapatkan gambaran perkembangan terkini.

"Ketika ini pergerakan harga (minyak mentah) Brent ada naik turunnya, kita masih meneliti perkara itu dengan rapat tetapi ketika ini ekonomi kekal stabil dan memberi keyakinan kepada pelabur," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Laporan Impak Sosioekonomi Malaysia 2025 oleh TikTok di sini pada Selasa.

**media[3459261]**

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, koordinasi antara kementerian penting untuk meneliti impak secara keseluruhan terutama berkaitan harga minyak dan gas.

Tambah beliau, ketidaktentuan geopolitik itu berpotensi memberi kesan dari segi logistik dan kos pengangkutan.

"Dari sudut yang berlaku di Selat Hormuz adalah premium insurans perkapalan agak ketara dan kesan harga makanan khususnya barangan import hanya akan diketahui kemudian nanti.

"Dari segi memastikan kestabilan bekalan dan sebagainya itu dipantau rapat kementerian berkenaan.

"Memang seluruh dunia masih menantikan sejauh mana kesan konflik ini kerana keadaan itu masih dengan pelbagai kenyataan dikeluarkan untuk kita memahami dinamiknya," katanya.

Keadaan di Asia Barat mula meruncing sejak 28 Februari lalu apabila Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran.