Kerajaan kekal stabil, tiada keperluan rombakan rombakan Kabinet – Anwar

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 9:52 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kerajaan kekal stabil, tiada keperluan rombakan rombakan Kabinet – Anwar

MANILA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentadbiran kerajaan kekal stabil dan memberi tumpuan penuh kepada pelaksanaan dasar serta tanggungjawab terhadap rakyat, bukannya melayan spekulasi mengenai rombakan Kabinet.

Beliau berkata, tiada keperluan mendesak untuk merombak barisan Jemaah Menteri ketika ini, walaupun timbul pelbagai pandangan susulan peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.

“Sekarang kerajaan stabil, dasar dibincangkan secara menyeluruh dalam Kabinet dan saya bekerja dengan menteri daripada pelbagai parti.

“Kita bekerja, berkongsi, berbincang dan mempunyai pendirian bersama, termasuk dalam isu dua hala, pelbagai hala dan ASEAN yang sensitif,” kata Perdana Menteri di sini, hari ini.

Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dari 15 hingga 17 November di bawah kepengerusian Filipina, yang bertemakan Navigating Our Future, Together.

Menyentuh mengenai peletakan jawatan Anthony, Anwar berkata, beliau menghormati pendirian pemimpin DAP itu yang dibuat atas dasar prinsip, meskipun sebelum ini telah memintanya mempertimbangkan semula keputusan berkenaan.

“Beliau (Anthony) atas dasar prinsip ini meminta supaya saya terima peletakan jawatan, yang belum saya lakukan. Tapi saya hormat pendirian dia kerana pentingnya itu atas dasar prinsip yang dia pertahankan.

“Dalam sistem kerajaan campuran di beberapa negara, ini bukan satu keanehan. Bila ada coalition, kadang-kadang pada peringkat Persekutuan berbeza dengan peringkat negeri,” kata beliau.

Pada 10 November, Anthony mengumumkan peletakan jawatannya dalam Kabinet berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah bermula pada hari berkenaan.

Perdana Menteri berkata, ruang perbincangan politik sentiasa terbuka, termasuk melalui pertemuan rasmi dan tidak rasmi bersama dengan pemimpin parti serta anggota pentadbiran, bagi menangani sebarang perbezaan pandangan.

Pada masa sama, Anwar menepis dakwaan yang cuba memperbesar-besarkan kononnya berlaku ketidakstabilan dalam kerajaan, sambil menyifatkannya sekadar agenda kempen politik pihak tertentu.

“Apa yang digembar-gemburkan itu hanyalah semata-mata agenda berkempen. Namun buat masa ini, kekal pada landasan, teruskan bekerja. Apa yang penting, kita berikan yang terbaik untuk negara ini,” katanya. — BERNAMA

The post Kerajaan kekal stabil, tiada keperluan rombakan rombakan Kabinet – Anwar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved