
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan yang membenarkan Kerajaan Malaysia untuk menangguhkan bayaran ganti rugi kepada kedua-dua keluarga aktivis, Paderi Raymond Koh dan Amri Che Mat.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab selepas menolak rayuan difailkan isteri Raymond, Susanna Liew dan isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.
Rayuan itu dikemukakan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah bagi bayaran ganti rugi berjumlah lebih RM31 juta kepada Susanna dan RM3 juta kepada Norhayati.
Bagi kes Raymond, Hakim Alwi memaklumkan tiada sebarang alasan untuk campur tangan terhadap budi bicara Mahkamah Tinggi dalam memberikan perintah penangguhan.
Katanya, penangguhan tersebut tidak menafikan hak untuk mendapatkan keadilan, sebaliknya hanya menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara menunggu proses rayuan.
“Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi itu merupakan pelaksanaan budi bicara secara rasional bagi mengekalkan keadaan sedia ada sementara menunggu penentuan muktamad terhadap semua isu dalam rayuan utama.
“Ia tidak pernah bertujuan sebagai satu aku janji mutlak untuk mengetepikan hak berkanun bagi memohon perintah penangguhan atau sebagai pengakuan liabiliti,” kata hakim itu yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh.
Tambah Hakim itu, mahkamah turut mengambil kira perintah melibatkan bayaran ganti rugi berterusan sebanyak RM10,000 sehari yang dilihat tidak praktikal.
“Menolak perintah penangguhan akan memaksa pengeluaran segera dana awam.
“Walaupun terdapat mekanisme amanah (Amanah Raya Berhad), kami bersetuju dengan responden (kerajaan) bahawa pelaksanaan serta-merta bayaran berulang daripada dana awam adalah tidak praktikal dari segi struktur,” katanya.
Berhubung permohonan agar siasatan disambung semula, mahkamah berpandangan penangguhan perlu dikekalkan sementara menunggu rayuan utama bagi memastikan rayuan terhadap syarat pelaksanaan siasatan tidak menjadi sia-sia.
Bagi kes melibatkan Amri, Hakim Alwi memberikan alasan penghakiman serupa yang mengekalkan keputusan penangguhan bayaran bagi menunggu keputusan rayuan utama.
“Perintah penangguhan itu tidak akan menjejaskan usaha plaintif untuk mendapatkan keadilan, sebaliknya hanya menangguhkan sementara pelaksanaan penghakiman bagi menunggu proses rayuan.
“Atas alasan yang dinyatakan, kami menolak rayuan tersebut dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Tiada perintah mengenai kos,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan bagi permohonan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi kepada kedua-dua isteri aktivis itu.
Ia susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Su Tiang Joo pada 5 November 2025, yang memerintahkan ganti rugi itu dibayar kepada Raymond selaku plaintif pertama yang hilang sejak sembilan tahun lalu, dan isterinya, Susanna Liew.
Hakim itu dalam penghakimannya telah memutuskan bahawa kerajaan dan polis selaku defendan bertanggungjawab atas kehilangan lelaki itu yang dilaporkan diculik pada 13 Februari 2017.
Mahkamah itu turut memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi am sebanyak RM10,000 sehari bermula tarikh hilang, sehingga defendan mendedahkan keberadaan lelaki itu.
Dalam pada itu, mahkamah sama turut memerintahkan Kerajaan Malaysia selaku defendan ke-21 bersama 20 defendan lain membayar ganti rugi berjumlah RM3.014 juta kepada Norhayati.
Jumlah tersebut merangkumi ganti rugi khas sebanyak RM14,457.52, ganti rugi am sebanyak RM2 juta serta ganti rugi teladan sebanyak RM1 juta.
Bagi kedua-dua kes yang berjalan secara berasingan, prosiding dikendalikan Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd Dom dan Zetty Zurina Kamaruddin mewakili kerajaan manakala Suzanna diwakili peguam, Datuk Jerald Gomez dan Steven Thiru serta Norhayati diwakili peguam, A. Surendra Ananth.-UTUSAN
The post Kerajaan kekal tangguh bayar ganti Pastor Koh, Amri appeared first on Utusan Malaysia.





