Kerajaan Kekalkan Cukai SST, Belum Sedia Laksanakan GST Kerana Pendapatan Rakyat Rendah – Lim Hui Ying

LocalPolitics
9 Dec 2025 • 4:01 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini, Malaysia telah melaksanakan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan jumlah cukai sebanyak 6% sebelum ia dimansuhkan pada 2018 dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Namun Bank Dunia pada awal tahun ini memberi saranan kepada Malaysia agar melaksanakan pembaharuan cukai termasuk memperkenalkan semula GST atau cukai nilai tambah (VAT).

Terbaharu, media melaporkan bahawa kerajaan tetap dengan keputusan untuk mengekalkan struktur SST sedia ada.

Baca Artikel Berkaitan: Bank Dunia Saran Malaysia Laksanakan Pembaharuan Cukai, Kenalkan Semula GST

Baca Artikel Berkaitan: Semakan & Peluasan SST 1 Julai: Ini Apa Yang Pengguna Patut Tahu

Kerajaan Kekal SST Agar Cukai Dikenakan Secara Bersasar

Menurut Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, sementara SST dikekalkan, kerajaan juga akan melaksanakan penambahbaikan agar sistem percukaian itu dapat dijalankan dengan lebih cekap dan berkesan.

Katanya, kerajaan mengambil langkah ini sebagai pendekatan bagi mengekalkan cukai penggunaan secara bersasar, dengan barang dan perkhidmatan asas yang digunakan oleh segolongan besar rakyat umum tidak dikenakan cukai.

“SST merupakan sistem percukaian yang lebih bersasar dan telah digunakan di Malaysia lebih 40 tahun yang lepas, serta merupakan satu sistem yang telah difahami oleh industri, peniaga dan rakyat.

“Pelaksanaan SST juga dapat memberikan impak fiskal yang lebih pantas kepada kerajaan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, dipetik Awani.

Beliau ketika itu menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk C. Sivaraj sama ada kerajaan akan mempertimbangkan pelaksanaan semula GST atau menambahbaik sistem SST agar sistem percukaian negara kekal berdaya tahan.

Pendapatan Rakyat Masih Rendah Untuk Terima Impak GST

Sehubungan itu, Lim menjelaskan bahawa GST yang bersifat lebih meluas kepada golongan masyarakat masih belum dilaksanakan semula oleh kerajaan memandangkan pendapatan rakyat secara amnya masih rendah untuk menerima impak daripada sistem percukaian itu.

“Kerajaan mengambil maklum berkenaan kebaikan sistem GST, namun seperti mana yang telah dijelaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, kerajaan belum berhasrat untuk melaksanakan GST.

“Langkah memperkenalkan semula GST memerlukan tempoh masa persediaan yang lebih panjang, iaitu mungkin sehingga dua tahun bagi memberi ruang kepada syarikat untuk mengemaskini sistem sebelum GST dilaksanakan,” katanya.

Mengulas berkenaan pemilihan kaedah percukaian, Lim berkata kerajaan telah mempertimbangkan pelbagai aspek sebelum membuat keputusan yang paling sesuai bagi pengukuhan kedudukan fiskal negara.

“Kerajaan mempertimbangkan aspek struktur keseluruhan sistem percukaian negara sedia ada, ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan, kedudukan ekonomi semasa, keperluan hasil kerajaan serta taraf hidup rakyat secara keseluruhan,” kata Lim.

PMX Akui Kebaikan GST, Namun Tangguh Kerana Pendapatan Rakyat Rendah

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kerajaan tidak dapat melaksanakan lagi GST setelah mengambil kira pendapatan rakyat yang masih rendah.

Dalam masa sama, beliau yang merupakan Menteri Kewangan turut mengakui kebaikan GST sebagai satu sistem percukaian yang efisien dan telus.

Namun, pihak kerajaan berpandangan pelaksanaan cukai tersebut boleh memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah apatah lagi sekiranya ia dilaksanakan dalam keadaan ekonomi rakyat belum bersedia.

“Orang yang pendapatan RM2,000, walaupun kita bagi beberapa pengecualian, tetapi banyak yang terkena (cukai). Memang beli gula, beras tak kena cukai, namun dia pergi beli barang lain, naik bas, semua itu secara tidak langsung kena cukai GST.

“GST itu menyeluruh, telus (memang) senang pelaksanaannya, tetapi saya kata, biarlah pendapatan rakyat naik dahulu. Katalah gaji minimum RM4,000, mungkin masa itu kita kata boleh,” ujarnya.

Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Digesa Teliti Semula Peluasan SST, Tangguh Pelaksanaan Bagi Perubatan Swasta

Baca Artikel Berkaitan: ‘Tak Masuk Akal Buah Import Asas Dibeli B40 Juga Kena SST’ – Bos Mydin

Baca Artikel Berkaitan: Benarkah Golongan Kaya Tidak Banyak Dicukai Di Malaysia?