
KOTA BHARU - Kerajaan negeri melalui Perbadanan Pertanian Negeri Kelantan dan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) memegang sebanyak 35 peratus pegangan saham Kilang Padi Beras Darul Naim selepas persetujuan pembelian saham itu daripada sebuah syarikat bukan Bumiputera.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kilang berkenaan sebenarnya kepunyaan Koperasi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sebelum dijual kepada syarikat terbabit.
Beliau memberitahu, kerajaan hanya mengetahui penjualan itu selepas proses menukar nama.
"Jadi kita fikir bagaimana mahu menyelamat kilang itu dan hasil rundingan, mereka bersetuju kerajaan negeri Kelantan membeli sebanyak 35 peratus sahamnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai pegangan saham kerajaan negeri KPKB dalam Kilang Padi Beras Darul Naim pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Rabu.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri mengambil keputusan berkenaan bagi menyelamatkan syarikat itu daripada dipunyai 100 peratus oleh syarikat bukan Bumiputera.
"Saya dukacita...penyakit orang lain tetapi datang kepada kita. Benda orang cemarkan, kita basuh. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku, pun faham, bukan hasrat kerajaan untuk melihat kilang dijual kepada pihak lain.
"Hakikatnya kita tolong selamatkan," katanya.
Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, hasil pengoperasian bersama, lebih 3,000 tan metrik padi akan diproses di kilang itu.
"Kita sudah membeli padi dan melakukan perbincangan bersama di peringkat negeri untuk pemprosesan berkenaan," katanya.


