Kerajaan kemuka 17 langkah perketat keselamatan lapangan terbang

LocalPolitics
3 Sep 2026 • 6:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan kemuka 17 langkah perketat keselamatan lapangan terbang
Saifuddin Nasution (dua dari kiri) semasa sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Markas PPM Wilayah Tiga, Tok Bali di Pasir Puteh pada Khamis. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

PASIR PUTEH - Kerajaan mengemukakan pelan mengandungi 17 langkah penambahbaikan keselamatan di pintu masuk lapangan terbang, termasuk pemeriksaan terhadap penumpang keluar dan masuk negara, susulan beberapa kes rakyat Malaysia ditahan di luar negara berkaitan dadah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan berkenaan yang mempunyai tiga fasa iaitu jangka pendek, sederhana dan panjang sudah dibentangkan kepada Jemaah Menteri kira-kira dua minggu lalu.

Menurut beliau, langkah berkenaan turut mengambil kira beberapa kes individu yang keluar dari Malaysia sebelum ditahan di negara destinasi kerana disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah.

"Pelan itu ada 17 perkara, ada tiga fasa iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

"Ia melibatkan outbound dan inbound kerana ditemui beberapa kes yang keluar daripada Malaysia kemudian ditangkap di negara destinasi," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Tok Bali di sini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Ujar beliau, kerajaan mengakui masih terdapat ruang yang perlu ditambah baik membabitkan keselamatan di lapangan terbang dan ia memerlukan kerjasama semua agensi berkaitan.

Katanya lagi, antara pihak yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen Malaysia, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Dalam perkembangan sama, Saifuddin Nasution memberitahu, kerajaan tidak boleh membawa pulang rakyat Malaysia yang ditahan kerana kesalahan jenayah di negara lain untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang negara berkenaan.

Sebaliknya, kata beliau, Malaysia menghormati kedaulatan undang-undang negara terbabit, namun pada masa sama akan mendapatkan akses untuk menemubual rakyat Malaysia yang ditahan bagi membantu siasatan dan kerjasama antara negara.

Jelasnya, pendekatan itu sudah dilakukan dalam satu kes membabitkan seorang juruterbang Malaysia yang ditahan di Indonesia, dan hasil maklumat diperoleh menerusi sesi soal siasat bersama individu berkenaan membantu pihak berkuasa Malaysia melakukan beberapa tangkapan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved