Kerajaan kenal pasti kaedah kurangkan implikasi kenaikan harga kenderaan tempatan

LocalPolitics
6 Nov 2025 • 3:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hui Ying bercakap ketika Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengurangkan implikasi kenaikan harga kenderaan tempatan selaras dengan penguatkuasaan peraturan kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Beliau berkata kerajaan akan mengambil langkah mitigasi bagi meminimumkan kesan kepada rakyat.

"Kerajaan membuat pengumpulan data dan melaksanakan sesi libat urus bersama pihak

industri bagi mendapatkan pandangan serta solusi kepada isu yang berbangkit,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai keputusan kerajaan sama ada meneruskan atau menangguhkan penguatkuasaan peraturan cukai eksais (P.U. (A) 402/2019) yang dijangka meningkatkan harga kenderaan sehingga 30 peratus bermula 2026.

Hui Ying berkata, pada ketika ini, pengecualian ke atas pelaksanaan peraturan P.U.(A) 402/2019 diberikan eksklusif untuk pengilang bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) sahaja.

"Pengecualian ini diputuskan susulan daripada kebimbangan pihak industri automotif tempatan

mengenai kenaikan harga kenderaan secara mendadak kesan dari penguatkuasaan peraturan tersebut dan bagi membolehkan industri bersedia dengan pelaksanaan peraturan P.U.(A) 402/2019 kelak,” katanya.

Bagaimanpun, Hui Ying berkata, berhubung kesan pelaksanaan peraturan ini kepada peningkatan harga, ia masih belum dapat dipastikan memandangkan model perniagaan syarikat CKD berbeza antara satu sama lain menyebabkan berlakunya ketidakseragaman kenaan duti eksais ke atas kenderaan yang dikilang. - Bernama