
KUALA LUMPUR - Kerajaan komited dengan membangunkan ekosistem industri tanaman serta pengadaptasian teknologi untuk masa depan sektor itu yang lebih cerah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia mencakupi usaha meneroka potensi makanan masa hadapan seperti daging kultur, hasil daging kultur dan cell-based food.
Menurut beliau, inisiatif ini perlu didahului dengan kajian yang menyeluruh bagi memastikan tahap kualiti dan keselamatan makanan adalah terjamin.
“Inisiatif pemodenan pertanian seperti pembangunan kilang tanaman akan menyokong pertumbuhan industri teknologi pertanian bagi menghasilkan pengeluaran makanan yang lestari, sebagai alternatif kepada pengeluaran tanaman semasa.
“Hari ini saya telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 1 Tahun 2024, yang membincangkan usaha mempertingkat keterjaminan makanan serta memperkasa industri agromakanan negara,” katanya.
Perdana Menteri memberitahu, mesyuarat dimaklumkan mengenai prestasi dan produktiviti dalam sektor pertanian serta agromakanan yang tampak memberikan kesan positif dengan mencatatkan pertumbuhan dalam tempoh setahun kebelakangan ini.
Jelas Anwar, beliau telah menegaskan keperluan melaksanakan tindakan segera terhadap beberapa perkara mendesak terkait sektor ini, khususnya kelulusan pelaksanaan serta fasilitasi pelaburan dan perniagaan.
“Elemen ease of doing business wajar diterapkan bagi menyokong ekosistem perniagaan dalam sektor pertanian.
“Mesyuarat turut bersetuju dengan pembangunan indikator keterjaminan makanan merangkumi maklumat berkaitan harga dan ketersediaan makanan di seluruh peringkat,” katanya.
Anwar berkata, beliau optimis segala ikhtiar yang diputuskan dalam mesyuarat ini akan terus melonjak pembangunan sektor pertanian dan agromakanan.
“Sektor ini perlu menjadi penyumbang utama ekonomi negara dan terus memanfaatkan rakyat,” katanya. - Getaran, 13 Jun 2024
