Kerajaan Komited Beri Perhatian Isu Jumlah Wakil Sabah, Sarawak Di Parlimen - PM

LocalPolitics
9 Sep 2022 • 2:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ismail Sabri Yaakob - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi komitmen kerajaan untuk memberi perhatian terhadap isu-isu berbangkit di Sabah dan Sarawak, termasuk berkaitan jumlah wakil dua negeri itu di Parlimen.

Perdana Menteri berkata ia antara isu dibangkitkan pada Mesyuarat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikannya semalam.

Menurut catatan di Facebooknya hari ini, mesyuarat itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, menteri-menteri kabinet serta pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan dilapor berkata mesyuarat itu mengendors langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Langkah itu bakal membolehkan Sabah dan Sarawak memiliki 78 daripada 222 kerusi.

Ismail Sabri berkata perkara lain yang dibangkitkan pada mesyuarat itu termasuk isu berkaitan ekonomi dan kesihatan di kedua-dua negeri Borneo berkenaan.

Perdana Menteri turut memberi komitmen kerajaan terhadap pembangunan Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang itu menerusi Bajet 2023 yang akan dibentang 7 Oktober ini.

“Insya-Allah, segala isu yang berbangkit di negeri-negeri Borneo ini akan diambil perhatian selaras semangat Keluarga Malaysia,” katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved