
Kota Kinabalu: Kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai usaha pembangunan yang menyeluruh demi kesejahteraan rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
“Ini termasuk penekanan kepada pengukuhan ekonomi negeri, pembangunan infrastruktur serta peningkatan kemudahan kesihatan, pendidikan, keselamatan dan sebagainya demi kesejahteraan rakyat.
“Dalam menjayakan agenda ini, anggota perkhidmatan awam hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, jujur dan berintegriti bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Dewan Bankuasi, Dewan Undangan Negeri Sabah, malam Isnin.
Menurut Hajiji, pembentukan kerajaan negeri bagi penggal kedua pada November lalu akan terus memacu agenda pembangunan holistik berteraskan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberikan keyakinan pendekatan pentadbiran kerajaan berada pada landasan yang tepat.
“Justeru, Pelan Pembangunan SMJ 2.0 merupakan lanjutan yang menuntut perubahan berterusan, termasuk dari segi pemikiran, cara bekerja serta penciptaan nilai baharu demi kemajuan dan pembangunan negeri,” ujarnya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus menjunjung profesionalisme, memelihara disiplin dan berpegang teguh kepada integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
“Saya yakin pentadbiran yang berteraskan integriti dan tadbir urus yang baik mampu meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkukuh daya saing ekonomi negeri,” tambahnya.
Hajiji berkata semua usaha dan inisiatif murni kerajaan mesti dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab bagi memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan dan mencapai pembangunan mampan selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.
Beliau bersama seluruh pentadbiran negeri amat menghargai kepimpinan, kebijaksanaan dan naungan Yang di-Pertua Negeri yang menjadi simbol perpaduan, kestabilan dan keharmonian rakyat Sabah.
Dalam majlis berkenaan, Hajiji memimpin Upacara Minum Hormat sebelum upacara memotong kek sempena ulang tahun rasmi TYT Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong; dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.
