Dua minggu lalu kebakaran di pusat data Perkhidmatan Sumber Maklumat Negara Korea Selatan mengakibatkan 647 perkhidmatan IT kerajaan Korea Selatan tergendala. Di peringkat awal dianggarkan perkhidmatan akan dapat dikembalikan semula sepenuhnya dalam masa dua minggu. Tetapi selepas dua minggu, tidak semua data yang hilang dapat dikembalikan kerana sandaran tidak pernah dilakukan.

Sistem storan awanan G-Drive yang digunakan lebih 125,000 penjawat awam Korea Selatan musnah dengan 858 TB data hilang selama-lamanya. Ini ialah sistem yang dibangunkan sendiri oleh Korea dan bukannya Google Drive. Data yang hilang adalah bersamaan 8 tahun kerja yang kini hilang selama-lamanya. Sandaran tidak pernah dilakukan atas alasan ianya terlalu besar. Lebih tragis setiap penjawat awam tidak dibenarkan menyimpan data pada komputer peribadi dan wajib menggunakan G-Drive.
Setakat ini sekitar 20% perkhidmatan tergendala telah kembali beroperasi dengan anggaran beberapa perkhidmatan lain hanya akan pulih dalam masa sebulan. Menurut media Korea, kebakaran disebabkan bateri yang digunakan sistem sandaran kuasa UPS sekiranya bekalan elektrik tergendala.



