Kerajaan luluskan subsidi diesel kepada lebih 198,000 kenderaan setakat 12 Jun 2024
herman
13/06/2024 - 15:16
KUALA LUMPUR 13 Jun - Sebanyak 198,046 kenderaan pengangkutan awam dan barangan telah diluluskan menerima subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Keseluruhannya, jumlah ini melibatkan sebanyak 59,940 syarikat yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, permohonan menyertai SKDS menunjukkan peningkatan kadar harian yang tinggi setelah pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel bermula pada 10 Jun 2024.
Beliau berkata, sehari sebelum pelarasan harga bermula iaitu pada 9 Jun 2024, KPDN menerima keseluruhan permohonan daripada 40,264 syarikat yang melibatkan 156,242 kenderaan.
"Kelulusan permohonan meningkat pada kadar tertinggi pada 10 Jun 2024 yang merekodkan 8,584 syarikat melibatkan 19,612 kenderaan pengangkutan awam dan barangan.
"Ini adalah peningkatan sebanyak 7,097 (477%) syarikat dan 16,584 (548%) kenderaan berbanding hari sebelumnya (9 Jun 2024) yang hanya mencatatkan kelulusan permohonan sejumlah 1,487 syarikat dengan melibatkan 3,028 kenderaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Armizan, kelulusan serta-merta boleh diberikan melalui sistem MySubsidi Diesel sebaik permohonan disertakan dengan maklumat lengkap.
Katanya, KPDN pada masa sama menjangkakan permohonan akan terus meningkat khususnya sehingga 30 Jun 2024 selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima kad fleet.

"KPDN menggesa syarikat pengangkutan yang layak untuk segera membuat permohonan melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my untuk mendapat manfaat subsidi bersasar yang ditawarkan oleh Kerajaan," ujarnya.
Kerajaan telah merintis perluasan BUDI MADANI SKDS 2.0 pada 7 Mac 2024 yang pada awalnya hanya terbuka kepada 9 jenis kenderaan pengangkutan barangan.
Pada 13 Mei 2024, SKDS 2.0 telah ditawarkan kepada tambahan 14 jenis pengangkutan barangan menjadikan keseluruhan 33 jenis pengangkutan yang terlibat.
Ini termasuk penerima awal SKDS 1.0 iaitu 10 jenis kenderaan pengangkutan awam. - DagangNews.com

