
Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail
Kos sara hidup merupakan antara isu paling dekat dengan kehidupan rakyat. Ia bukan sekadar angka inflasi dalam laporan rasmi, tetapi realiti harian ketika membeli barang dapur, membayar sewa, mengisi minyak, menyediakan belanja sekolah anak, membayar bil utiliti dan mengurus perbelanjaan keluarga.
Bagi rakyat biasa, ekonomi tidak hanya dinilai melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar atau jumlah pelaburan, tetapi melalui persoalan yang lebih langsung, iaitu adakah pendapatan cukup untuk menampung kehidupan?
Inilah cabaran utama Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Walaupun ekonomi negara memberikan banyak petunjuk positif seperti pelaburan yang kukuh, pengangguran yang rendah dan daya saing yang meningkat, kerajaan tetap perlu berdepan hakikat bahawa tekanan kos sara hidup masih menjadi keresahan rakyat.
Perdana Menteri sendiri tidak menafikan cabaran ini. Dalam Belanjawan 2026, beliau mengakui bahawa meskipun angka ekonomi kelihatan memberangsangkan, kos sara hidup masih meningkat dan membebankan rakyat.
Pengakuan ini penting kerana ia menunjukkan bahawa kerajaan tidak melihat ekonomi hanya daripada sudut makro, tetapi turut mengambil kira pengalaman harian rakyat.

Inisiatif kerajaan
Kos sara hidup ialah isu yang kompleks. Harga barang dipengaruhi oleh kos import, kadar tukaran mata wang, harga bahan api, kos logistik, cuaca, bekalan makanan, ketegangan geopolitik, rantaian bekalan global dan tingkah laku pasaran tempatan.
Pada masa yang sama, tekanan rakyat juga dipengaruhi oleh tahap pendapatan. Jika harga naik sedikit tetapi gaji tidak meningkat, rakyat tetap akan berasa terbeban.
Sebab itu pendekatan kerajaan perlu bersifat pelbagai lapisan. Bantuan tunai penting untuk memberi kelegaan segera. Kawalan harga membantu mengelakkan kenaikan melampau pada musim tertentu.
Jualan murah dan intervensi pasaran membantu rakyat mendapatkan barangan asas pada harga lebih rendah. Reformasi subsidi pula bertujuan mengurangkan ketirisan dan memastikan wang negara sampai kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan. Dasar pendapatan pula penting untuk menyelesaikan punca jangka panjang, iaitu gaji yang tidak mencukupi.
Antara intervensi terbesar kerajaan ialah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara). Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi STR dan Sara, hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi seperti diesel dan RON95.
Langkah ini membawa mesej jelas bahawa kerajaan masih mengekalkan komitmen membantu rakyat secara langsung, tetapi dengan pendekatan lebih bersasar.

Pada tahun 2026, semua sembilan juta penerima STR turut menerima Sara sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun. Penerima eKasih pula menerima Sara sehingga RM200 sebulan atau RM2,400 setahun, manakala kategori bujang menerima RM50 sebulan atau RM600 setahun.
Bagi isi rumah tertentu, jumlah maksimum bantuan STR dan Sara boleh mencecah RM4,600 setahun. SARA juga lebih dekat dengan keperluan sebenar rakyat kerana boleh digunakan untuk membeli makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan sekolah di premis runcit terpilih.
Namun begitu, cabaran kos sara hidup juga memerlukan intervensi terhadap harga barangan asas dan pengawasan pasaran. Program Jualan Rahmah Madani, misalnya, menawarkan barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Program ini penting kerana memberi kesan langsung kepada pengguna, khususnya di kawasan berpendapatan rendah dan luar bandar.
Dalam Belanjawan 2026, kerajaan turut menyediakan RM1 bilion untuk menangani kos sara hidup, termasuk RM600 juta bagi memperluas Payung Rahmah di semua kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh negara.
Selain itu, RM250 juta diperuntukkan untuk menampung kos pengedaran barangan asas ke kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah serta Sarawak.
Kawalan harga juga menjadi instrumen penting, khususnya pada musim perayaan. Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2026 dilaksanakan selama 15 hari, iaitu tujuh hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
Keterjaminan makanan
Langkah ini membantu menstabilkan harga barangan terpilih pada waktu permintaan tinggi sekali gus melindungi pengguna daripada manipulasi harga.
Isu kos sara hidup juga tidak boleh dipisahkan daripada keterjaminan makanan. Dalam Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM2.62 bilion dalam bentuk subsidi dan sokongan kepada pesawah selain memberi perhatian kepada projek pengairan, pemulihan sawah, teknologi pertanian moden dan kerjasama pertanian dengan kerajaan negeri.
Ini penting kerana harga makanan tidak boleh dikawal hanya di peringkat runcit, ia perlu ditangani dari peringkat pengeluaran, bekalan, logistik dan pengedaran.
Selain bantuan dan kawalan harga, kerajaan turut menyentuh akar masalah kos sara hidup, iaitu pendapatan. Jika gaji rakyat rendah, apa-apa kenaikan harga akan terasa berat.
Maka kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, pelaksanaan Dasar Gaji Progresif dan penekanan terhadap pekerjaan dengan gaji bermakna serta perkongsian kekayaan yang lebih adil merupakan jawapan jangka panjang. Bantuan tunai boleh meringankan beban hari ini, tetapi pendapatan yang lebih baik memberi kekuatan kepada rakyat untuk berdiri sendiri esok.
Kesimpulannya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, intervensi kerajaan melalui STR, Sara, Jualan Rahmah Madani, kawalan harga musim perayaan, sokongan kepada pesawah, bantuan logistik Sabah dan Sarawak serta dasar pendapatan menunjukkan bahawa kerajaan cuba memastikan pertumbuhan ekonomi sampai kepada kehidupan rakyat.
Dalam kerangka Malaysia Madani, menangani kos sara hidup bukan sekadar soal pertumbuhan ekonomi, tetapi juga soal keadilan sosial kepada semua peringkat masyarakat berbilang kaum.
Prof. Dr. Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Malaysia Kelantan
The post Kerajaan Madani hadapi banyak cabaran appeared first on Kosmo Digital.

