Kerajaan Malaysia Putuskan Tidak Ekstradisi Zakir Naik Ke India

LocalPolitics
3 Nov 2026 • 11:23 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Kerajaan Malaysia Putuskan Tidak Ekstradisi Zakir Naik Ke India

KUALA LUMPUR, 3 November 2026 – Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi pendakwah Dr Zakir Naik ke India dan tidak memberikan sebarang komitmen untuk menyerahkan beliau kepada negara berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi jawapan bertulis susulan pertanyaan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary di Dewan Rakyat pada Selasa.

Menurut Saifuddin, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi yang ditandatangani bersama kerajaan India pada 2010 serta peruntukan Akta Ekstradisi 1992.

Permohonan Terakhir Diterima Pada 2018

Saifuddin menjelaskan, kerajaan sebelum ini menerima permohonan rasmi ekstradisi daripada India pada 19 Januari 2018.

Malaysia turut menerima nota diplomatik daripada kerajaan India pada 29 Mei 2020 yang memohon supaya keputusan berkenaan dipertimbangkan semula.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi baharu daripada India setakat ini.

“Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India. Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” katanya.

Isu Ekstradisi Kembali Menjadi Perhatian

Isu ekstradisi Dr Zakir kembali mendapat perhatian pada September lalu susulan laporan mengenai perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi.

Anwar sebelum ini mengesahkan bahawa perkara berkenaan dibincangkan secara tertutup, dengan menegaskan sebarang tindakan perlu mengambil kira kepentingan kedua-dua negara serta prinsip kedaulatan undang-undang.

Perkembangan terbaharu ini menjelaskan pendirian kerajaan Malaysia berhubung permohonan ekstradisi berkenaan, yang setakat ini kekal tidak akan menyerahkan Dr Zakir Naik kepada India. – The Malaysian Update

The post Kerajaan Malaysia Putuskan Tidak Ekstradisi Zakir Naik Ke India appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved