
BUTTERWORTH : Kerajaan berusaha mengesan rakyat Malaysia yang masih berada di kawasan terjejas susulan kejadian banjir besar di Nepal ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerja-kerja menyelaras bantuan juga sedang dilakukan bagi tujuan itu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, selain bantuan kewangan, kerajaan juga mungkin mempertimbangkan kemungkinan untuk menghantar pasukan mencari dan menyelamat ke negara itu.
“Ya, kita telah menerima senarai terakhir dan memang terdapat beberapa puluh rakyat Malaysia yang sempat datang. Jelas kehilangan nyawa ataupun masih belum dapat disahkan.
“Jadi kita minta tolong kawan semua hubungi. Kita ada ramai di luar negara dan tadi saya dapat daripada beberapa negara berhubung keadaan mereka,” katanya ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Semilang, di sini, hari ini.
Tambah Anwar, Malaysia perlu memandang serius bencana berkenaan memandangkan beberapa negara jiran Nepal termasuk India, China dan Bangladesh sudah pun menghulurkan bantuan kepada negara itu.
Seramai 51 rakyat Malaysia telah disenaraikan sebagai individu yang masih terputus hubungan susulan kejadian banjir besar di Nepal ketika ini.
Berdasarkan dokumen bertajuk Tourist list (out of contact) in Bhotekoshi Flood yang dikeluarkan Jabatan Pelancongan Nepal, senarai itu memuatkan maklumat pelancong dari pelbagai negara yang gagal dihubungi selepas bencana berkenaan. –UTUSAN
The post Kerajaan masih kesan rakyat Malaysia terjejas banjir di Nepal appeared first on Utusan Malaysia.





