Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan meneruskan pelaksanaan Dana Antarabangsa Belia KBS atau International Youth Fund (IYF@KBS) bagi tahun 2026 sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam usaha pengantarabangsaan belia berumur antara 18 hingga 30 tahun.
Inisiatif ini diwujudkan bagi menyokong penyertaan belia Malaysia dalam platform global seperti mesyuarat, forum, persidangan dan simposium antarabangsa yang berkaitan dengan pembangunan belia. Penyertaan belia bukan sahaja memberi pendedahan kepada amalan terbaik dunia, malah membuka ruang kepada belia untuk terlibat secara langsung dalam perbincangan isu-isu global, membina jaringan strategik serta memperkukuh kefahaman antara budaya.
Selari dengan Dasar Belia Malaysia dan Model Pembangunan Belia Madani, usaha ini mendayaupayakan belia Malaysia untuk bersama-sama belia daripada pelbagai negara untuk menjadi sebahagian daripada suara yang mencorakkan penggubalan dasar, program dan inisiatif di peringkat global dan serantau.
Dana IYF ini ditawarkan secara one-off kepada belia warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 30 tahun, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang aktif dalam persatuan, pertubuhan atau kelab yang berdaftar. Bagi tahun 2026, bantuan sehingga maksimum RM20,000 akan disediakan bagi setiap permohonan yang diluluskan, meliputi kos yuran penyertaan program, tiket penerbangan kelas ekonomi, elaun makan, insurans, visa dan penginapan tertakluk kepada kadar yang ditetapkan.
Permohonan akan dibuka dalam empat (4) siri bermula hari ini (16 Januari 2026) bagi program (mesyuarat, forum, persidangan dan simposium antarabangsa) yang berlangsung antara 1 Mac hingga 15 November 2026. Semua permohonan hendaklah dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi KBS di www.kbs.gov.my/iyf, lengkap dengan dokumen yang ditetapkan.
KBS yakin bahawa pelaksanaan IYF@KBS 2026 akan terus memperkukuh ekosistem pembangunan belia negara, melahirkan pemimpin muda yang berwibawa, dan seterusnya menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing di persada antarabangsa.



