Kerajaan Menyasarkan Beri Setiap Pelajar Satu Tablet – Memudahkan Pembelajaran Digital

TechnologyDigital
16 May 2024 • 7:45 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini berkongsi menyatakan kerajaan menyasarkan untuk menawarkan setiap pelajar dengan satu tablet, sekaligus membantu dalam pembelajaran digital masing-masing. Kerajaan kini berusaha untuk mencapai inisiatif berkenaan secara berfasa, dan pelaksanaannya mungkin bermula seawal tahun 2024 ini.

image is not available

Seperti ramai sedia maklum, pada hari ini pelbagai pembelajaran boleh dilakukan secara digital – sebagai tambahan kepada pembelajaran di sekolah. Pembelajaran secara digital juga dikatakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan lagi pada era kini – namun untuk melaksanakannya secara menyeluruh, ia merupakan satu cabaran besar dari segi komitmen kewangan oleh pihak kerajaan.

Disebabkan oleh itu, pelaksanaannya dijangka dilakukan secara berperingkat. Menurut TPM, dalam tempoh sekitar empat ke lima tahun lagi, ia disasarkan majoriti pelajar akan mempunyai tablet masing-masing.

Perkara ini dikongsikan oleh TPM, pada sambutan Hari Guru yang diadakan hari ini. Tema hari guru untuk tahun 2024 ini adalah “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani”, selari komitmen dalam menggunakan teknologi dalam pendidikan.