Kerajaan negeri akui projek LRT3 antara punca banjir kilat Selangor

1 Mar 2024 • 3:25 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor mengakui projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) sedang dilaksanakan di negeri berkenaan ketika ini, mengakibatkan beberapa lokasi berdepan banjir kilat.

Lokasi itu antaranya Pasar Borong Meru dan Sekolah Tinggi Klang.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti negeri, Ng Sze Han berkata, pengurusan projek itu dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri berkenaan kini mengambil langkah segera dalam usaha mengatasi permasalahan terbabit.

“Beberapa perkara yang perlu di teliti dan diambil kira pihak LRT3 termasuk menyemak keperluan dan keberkesanan parit erong.

“Antara perkara itu adalah melakukan kerja pembersihan parit alir keluar di sepanjang Jalan Meru sehingga Sungai Klang dan menyemak pembinaan serta mengubah suai pembetung di kawasan Bulatan Kota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Negeri Selangor bagi menjawab persoalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baru Klang, Quah Perng Fei mengenai isu banjir kilat berpunca daripada projek pembinaan LRT3.

Perng Fei bertanya mengenai punca sebenar air bertakung di peparitan sepanjang LRT3 setiap kali hujan lebat.

Sze Han memaklumkan, punca lain adalah masalah air bertakung yang terjadi apabila berlakunya hujan lebat melampau pada ketika air laut pasang besar.

“Seterusnya ia akan mengakibatkan berlakunya aliran balik air kembali ke perparitan sepanjang Jalan Meru, seterusnya menyebabkan air melimpah dan mengakibatkan air bertakung.

“(Apapun) Kalau kata seluruh jajaran LRT3 itu mengalami masalah banjir kilat, saya tidak setuju, tetapi saya setuju ada sesetengah bahagian yang memang mengalami masalah banjir kilat selepas pembinaan dimulakan,” katanya.

image is not available
Ng Sze Han (kiri) semasa sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini menjelaskan punca sebenar air bertakung di peparitan sepanjang LRT3 setiap kali hujan lebat. - Gambar Bernama, 1 Mac, 2024

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, masalah air bertakung juga adalah apabila berlaku sekatan di hilir perparitan ke sungai, mendapan, sampah sarap dan halangan benda.

Keseluruhan kerja perparitan dan longkang di kawasan projek pembinaan itu, katanya, siap sepenuhnya mengikut reka bentuk konsultan dan mendapat kelulusan dari pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS) serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Jelasnya, MBDK sudah mengadakan perbincangan dengan pihak LRT3 bagi mengkaji masalah itu, sebelum mengemukakan langkah penyelesaiannya.

Sementara itu, Sze Han memaklumkan, status kemajuan keseluruhan projek pembinaan LRT3 mencapai 93.88 peratus setakat Januari lalu.

Sementara itu, status kemajuan infra di Bandar Baru Klang bagi pembinaan landasan, katanya, adalah 99.24% dan status kemajuan kawasan itu untuk pembinaan stesen, 91.03%.

Katanya, LRT3 dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada Mac 2025. – 1 Mac, 2024