
Bagi bantu rancakkan aktiviti pertanian
Kerajaan Negeri Beri Peruntukkan RM20 Billion, Naik Taraf Jalan Raya Seluruh Sarawak. Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM20 bilion untuk menaik taraf jalan raya di seluruh negeri, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata usaha ini dibuat bagi meningkatkan keselesaan penduduk dan membantu golongan petani, nelayan, dan penternak memasarkan hasil mereka.

“Kerajaan pusat ada projek Lebuh Raya Pan Borneo, tapi tidak semua kawasan di Sarawak dilalui lebuh raya itu,” kata Abang Johari.
“Oleh itu, kita akan terus bina dan naik taraf jalan raya di kawasan luar bandar dan pedalaman secara berperingkat.”
Beliau berkata jaringan jalan raya yang baik akan memudahkan akses ke pasaran bagi hasil pertanian dan ternakan, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan para petani dan nelayan.
“Contohnya, Jambatan Bintulu-Jepak yang menelan belanja RM400 juta akan menghubungkan Bintulu dengan Jepak, Lapangan Terbang Bintulu, dan kawasan pesisir pantai,” kata Abang Johari.
“Ini akan membuka peluang untuk penanaman kelapa sawit dan tanaman lain di kawasan tersebut.”

Selain itu, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Jabatan Pertanian Sarawak dan Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk kerjasama dalam bidang inovasi pertanian.
Kerjasama ini diharap dapat membawa manfaat kepada komuniti setempat melalui peningkatan teknologi dan kaedah pertanian yang lebih moden.


