Kerajaan negeri, Persekutuan digesa manfaat ECRL perkukuh pelaburan – Sultan Kelantan

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 4:19 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kerajaan negeri, Persekutuan digesa manfaat ECRL perkukuh pelaburan – Sultan Kelantan

KOTA BHARU – Operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka bermula Januari 2027 perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memacu pelaburan dan memperkukuh daya saing Kelantan.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan perlu memanfaatkan infrastruktur berkenaan bagi meningkatkan kecekapan logistik, memperluas akses pasaran dan memperkukuh daya tarikan Kelantan sebagai destinasi pelaburan baharu yang berdaya saing.

“Beta menggesa kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan agar memanfaatkan infrastruktur ini bagi meningkatkan kecekapan logistik, memperluas akses pasaran, dan memperkukuh daya tarikan negeri sebagai destinasi pelaburan baharu yang berdaya saing,” titah baginda sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V Yang Ke-57 di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.

Sultan Muhammad V berharap Kerajaan Persekutuan dapat menaik taraf jalan utama, khususnya ke Pusat Pembangunan Berasaskan Transit di Bandar Baru Tunjong, Kota Bharu dan Pusat Pembangunan Berasaskan Kargo di Cherang Tuli, Pasir Puteh.

Baginda turut menzahirkan keyakinan terhadap potensi ekonomi negeri yang terus menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan positif.

“Ekonomi Kelantan berkembang pada kadar 4.1 peratus pada 2025, berbanding 3.3 peratus pada tahun sebelumnya dengan sektor perkhidmatan kekal menjadi tunjang utama ekonomi negeri dengan sumbangan 71.8 peratus, diikuti sektor pertanian sebanyak 19.8 peratus,” titah Baginda.

Sultan Muhammad V bertitah, Kelantan mempunyai potensi besar untuk meningkatkan ekonomi melalui jangkaan pengoperasian dua kawasan industri baharu di Machang dan Tok Bali pada tahun depan, peningkatan sektor pembinaan menerusi projek berimpak tinggi serta perlombongan berasaskan kekayaan sumber sedia ada.

Baginda bertitah perkembangan itu turut didorong jaringan keterhubungan dan pembangunan infrastruktur utama yang semakin baik.

Baginda turut menaruh keyakinan Kelantan boleh menjadi peneraju ekonomi biru di Pantai Timur dengan memanfaatkan sumber pesisir, ekosistem maritim, perikanan dan logistik secara lestari, selari dengan agenda nasional.

Sehubungan itu, baginda menyambut baik penekanan kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 berhubung pembangunan industri strategik dalam ekonomi biru, termasuk hab perikanan bersepadu, pelancongan pantai dan maritim serta industri pembinaan dan pembaikan kapal.

Baginda bertitah, Taman Perindustrian Tok Bali perlu menjadi teras kepada pembangunan ekonomi tersebut, manakala Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur perlu berperanan memastikan potensi itu dapat direalisasikan.

Sultan Muhammad V turut menyambut baik usaha kerajaan negeri meneroka potensi ekonomi hijau seperti tenaga boleh baharu sebagai salah satu sumber ekonomi, yang diharap mampu menjana sumber hasil baharu negeri di samping mengekalkan kelestarian alam sekitar. – KOSMO! ONLINE

The post Kerajaan negeri, Persekutuan digesa manfaat ECRL perkukuh pelaburan – Sultan Kelantan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved