
KUANTAN – Kerajaan Pahang mengambil pendekatan unik dalam membina hubungan erat dengan rakyat dengan bertindak seperti ibu dan bapa, sebagai tanda cakna serta komitmen untuk mempermudahkan urusan rakyat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pendekatan tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memberikan layanan terbaik kepada semua pihak yang berurusan di negeri ini.
“Sebagai kerajaan, kita menjadi ibu dan bapa. Kita permudahkan sahaja urusan orang yang datang ke Negeri Pahang.
“Kita permudahkan urusan, kita bagi layanan yang baik,” katanya semasa Program Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang berlangsung di Dewan Dato’ Sri Abdul Manan Ismail, di sini, pada Selasa.
Wan Rosdy turut memaklumkan bahawa pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, antaranya penyediaan hentian rehat dan rawat (R&R) sementara semasa musim perayaan bagi memudahkan rakyat yang pulang beraya.
Jelas beliau, walaupun perkara itu bukan tanggungjawab rasmi kerajaan negeri, namun ia tetap disediakan demi memastikan rakyat selesa dan terbela.
“Sekurang-kurangnya mereka boleh berhenti, buang air kecil, buang lampin anak dan sembahyang. Kita buat ini kerana cakna dan tulus,” katanya.
Mengulas mengenai kejayaan pentadbiran negeri, Wan Rosdy menegaskan bahawa perkara tersebut hanya boleh dicapai melalui semangat kesatuan dalam kalangan penjawat awam, pemimpin tempatan dan rakyat.
“Kalau main-main, tak ada semangat... kita mesti bersatu hati untuk maju ke hadapan. Kita tidak ada pilihan,” katanya.


