KOTA BHARU – Kerajaan Pas Kelantan menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin dan Iran yang berdepan serangan serta pencabulan kedaulatan negara oleh Zionis.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menegaskan bahawa setiap negara berdaulat tidak seharusnya diceroboh atau diserang sewenang-wenangnya kerana tindakan sedemikian bercanggah dengan prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa.
“Setiap negara mempunyai kedaulatan yang perlu dihormati dan kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak menyerang negara lain sesuka hati.
**media[3462401]**
“Jika perkara ini dibiarkan tanpa sebarang pendirian, musuh akan semakin berani melakukan apa-apa sahaja termasuk penindasan dan pembunuhan,” katanya ketika menyertai program Solidariti terhadap Palestin dan Iran di Medan Ilmu di sini pada Jumaat.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang didakwa tidak mengambil tindakan tegas terhadap konflik yang berlaku, walaupun serangan terhadap negara tertentu jelas melibatkan pencabulan kedaulatan.
“Timbul persoalan terhadap keberkesanan sistem undang-undang antarabangsa jika undang-undang itu sendiri tidak dihormati oleh pihak yang berkuasa,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa perpaduan umat Islam amat penting dalam menghadapi cabaran dan tekanan geopolitik yang melibatkan negara-negara Islam.
**media[3462402]**
Menurutnya, umat Islam perlu bersatu dalam mempertahankan saudara seagama yang ditindas serta menolak sebarang bentuk kezaliman yang berlaku terhadap negara Islam.
“Orang Islam ini ramai di seluruh dunia, tetapi jika kita berpecah-belah, kita menjadi lemah.
“Sebab itu dalam Islam, kesatuan umat adalah sesuatu yang sangat penting supaya kita mampu mempertahankan maruah dan kedaulatan negara Islam,” ujarnya.
Tambahnya lagi, umat Islam juga perlu mengambil peluang pada penghujung Ramadan untuk memperkukuh perpaduan serta meningkatkan doa agar keamanan dan keadilan dapat ditegakkan.

