
GERIK: Kerajaan Perak menjunjung kasih kepada Raja-Raja Melayu yang memilih Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun, berkuat kuasa 31 Jan tahun depan.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (gambar) berkata pemilihan itu, merupakan satu berita gembira buat seluruh rakyat negeri Perak.
“Kami mendoakan semoga Allah sentiasa merahmati dan memberi petunjuk dan hidayahnya kepada Paduka Seri Sultan Perak, untuk menjalankan tugas Baginda sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan cermin mata bagi Program Yayasan Perak Eye Sinar 2023 di sini hari ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Jan 2024, pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, hari ini.
Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Jan tahun depan.
Mesyuarat itu turut memilih Sultan Nazrin sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama. -Bernama

