Kerajaan perkasa libat urus industri tangani krisis tenaga global

LocalPolitics
5 Apr 2026 • 12:04 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

BAGAN DATUK – Kerajaan mempergiat pendekatan libat urus bersama pemain industri dalam usaha merangka penyelesaian lebih praktikal bagi menangani krisis tenaga global yang semakin mencabar.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu dilaksanakan menerusi platform Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang kini mengadakan mesyuarat secara konsisten setiap minggu.

Menurutnya, setiap sesi perbincangan melibatkan peneraju industri mengikut sektor bagi memastikan dasar dan langkah yang dirangka benar-benar mengambil kira realiti semasa serta keperluan ekonomi negara.

“Pandangan daripada pihak industri amat penting kerana mereka berada di barisan hadapan. Input ini membantu kerajaan menggubal keputusan yang lebih menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026 Parlimen Bagan Datuk di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, semalam.

Tambah beliau, selain mesyuarat berkala MTEN, kerajaan juga melaksanakan taklimat harian bagi memastikan maklumat terkini berkaitan krisis tenaga dapat disampaikan kepada rakyat secara telus dan berterusan.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid menegaskan kepentingan kerjasama semua pihak dalam menghadapi cabaran global tersebut, sambil mengingatkan agar tidak wujud budaya saling menyalahkan.

“Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan dan bersedia dengan sebarang kemungkinan kerana krisis ini memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat,” katanya.

Terdahulu, sambutan Aidilfitri berkenaan menarik kehadiran kira-kira 14,000 pengunjung yang memeriahkan majlis sejak awal petang. – MYBERITA