Kerajaan Perkenal Pindaan Kanun Keseksaan, Tangani Kes Buli Secara Khusus

LocalPolitics
11 Aug 2025 • 7:48 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Azalina Othman Said - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah memperkenalkan pindaan Kanun Keseksaan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750].

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang & Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan tersebut menerima Perkenan Diraja pada 25 Februari lalu, sebelum diwartakan pada 7 Mac. 

Menurut beliau, akta berkenaan berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta.

“Pindaan ini memasukkan seksyen baharu 507B hingga 507G yang antaranya bertujuan menangani secara khusus isu buli yang dilakukan dalam apa-apa cara atau kaedah termasuk dalam talian. 

“Pindaan ini memperuntukkan kesalahan berkaitan gangguan, ancaman, perbuatan membuli, penghinaan serta penyalahgunaan maklumat identiti,” katanya. 

Jelas Azalina, ia mencakupi situasi cubaan membunuh diri dan jika orang yang diprovokasi cuba untuk membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu.

“Hukuman hukuman bagi kesalahan ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

Tegas beliau, adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk meneliti dan mematuhi undang- undang yang sudah berkuatkuasa ini.

Orang ramai katanya, boleh mendapatkan maklumat terus daripada BHEUU, JPM atau Jabatan Bantuan Guaman yang sedia memberikan khidmat penerangan secara percuma sekiranya berdepan sebarang kekeliruan. 

“Saya menyeru setiap kementerian, agensi, pertubuhan dan institusi untuk sentiasa mengemaskini pengetahuan warga kerja masing-masing mengenai perkembangan undang-undang terkini serta memastikan dasar dan prosedur dalaman selaras dengan peruntukan ini,” katanya. 

Azalina menarik perhatian, kejahilan berkenaan undang-undang bukan sebuah alasan di sisi undang-undang (ignorance of the law is not an excuse). 

“Kefahaman yang jelas terhadap hak dan tanggungjawab di bawah undang-undang merupakan langkah pertama bagi membina masyarakat yang lebih selamat, beretika dan berperikemanusiaan,” katanya. - Getaran, 11 Ogos 2025