
Kota Kinabalu: Persatuan Pengguna Pantai Barat Sabah mendedahkan mengenai tentang kesukaran peniaga di lot-lot kedai sewaan mahal untuk melaksanakan kempen Menu Rahmah seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
Presidennya, David Chan berkata, peniaga berkenaan bukan sahaja terbeban dengan kadar sewaan yang tinggi.
“Selain itu, peniaga malah terpaksa menampung kos gaji pekerja serta bahan mentah yang masih boleh dikatakan agak tinggi.
“Ini akan menjadi cabaran dan kekangan kepada peniaga untuk melaksanakan kempen Menu Rahmah,” katanya.
Menurut beliau, hasil tinjauan pihaknya mendapati usaha memperkenalkan Menu Rahmah lebih mudah dilaksanakan oleh gerai-gerai makan berbanding pengusaha restoran lot kedai bangunan.
“Bagi premis gerai biasa mereka tidak dibebani kos sewaan kedai yang mahal ditambah dengan kos gaji pekerja antara RM1,200 hingga RM1,500 seorang,” katanya.
Beliau berkata, rata-rata peniaga yang ditemui menyatakan sokongan mereka untuk menjayakan program Menu Rahmah itu.
“Semua mahu menjayakan usaha kerajaan membantu orang miskin dan mereka gembira untuk turut serta,” katanya.
Beliau berharap kerajaan dapat membantu golongan peniaga berkenaan seperti mengurangkan kadar sewa bagi premis di bangunan milik kerajaan.
“Insentif ini sekurang-kurangnya dapat memberi galakan kepada peniaga berkenaan untuk melaksanakan program Menu Rakyat.
“Jika peniaga membantu rakyat mengapa kerajaan atau pihak berkuasa tidak boleh membantu peniaga pula,” katanya lagi.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
