Kerajaan perlu didik orang ramai cara isi borang PADU agar pelan rasionalisasi subsidi berjalan betul – TA Research
diyana
04/01/2024 - 10:53
KUALA LUMPUR 4 Jan - Kerajaan perlu mendidik orang ramai cara isi borang Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) bagi memastikan pelan rasionalisasi subsidi berjalan betul, kata TA Research.
Meskipun sistem tersebut disambut baik untuk memastikan pengagihan subsidi yang lebih adil, firma penyelidikan itu berkata, sistem maklumat pengemaskinian sendiri sedikit membosankan terutamanya bagi warga emas dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
Dengan pelaksanaan PADU, TA Research berkata kerajaan menyasarkan pengagihan subsidi yang lebih tertumpu dan sebahagiannya beralih daripada kategori pendapatan umum seperti B40, M40 atau T20, yang tidak memberikan gambaran sebenar pendapatan boleh guna isi rumah.
Orang ramai akan diberi tempoh tiga bulan sehingga 31 Mac 2024 untuk mengemas kini dan mengesahkan maklumat mereka pada pangkalan data.
Memandangkan ini tidak wajib, tiada tindakan akan diambil terhadap mereka yang tidak mengemas kini maklumat mereka dalam pangkalan data.
“Namun, mereka yang tidak mendaftar akan berisiko diketepikan daripada menerima subsidi yang disasarkan.
“Kami difahamkan bahawa risiko pengecualian mungkin berlaku kerana kerajaan akan menggunakan maklumat sedia ada dan maklumat terkini dalam PADU untuk menentukan profil isi rumah dan kelayakan bagi mereka yang layak mendapat subsidi bersasar atau sebaliknya,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, firma tersebut berkata kredibiliti data yang dikemas kini harus munasabah, di mana Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menguruskannya dan firma itu percaya maklumat yang diberikan akan disemak dan disahkan oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan.
“Untuk makluman, PADU merangkumi 270 jenis data di bawah kerajaan persekutuan daripada pelbagai agensi. Data daripada kerajaan negeri dan tempatan akan dimasukkan secara beransur-ansur,” tambahnya.
TA Research berkata, proses ini sepatutnya berlaku dalam fasa kedua, mungkin pada April hingga Jun 2024, tepat pada masanya untuk pelan rasionalisasi subsidi dilaksanakan pada separuh kedua 2024.
Pelaksanaan subsidi bersasar dijangka membantu kerajaan mencapai sasarannya untuk mengurangkan defisit fiskal kepada antara 3% hingga 3.5% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2025.
Firma itu menyatakan bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM52.8 bilion untuk subsidi tahun ini, yang diunjurkan menurun 17.9% berbanding anggaran RM64.2 bilion pada 2023, terutamanya disebabkan oleh pelaksanaan rasionalisasi subsidi secara beransur-ansur. - DagangNews.com


