Kerajaan perlu henti rujuk Sister in Islam

LocalPolitics
19 Jun 2025 • 6:40 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zainul Rijal

PUTRAJAYA - Kerajaan hendaklah menghentikan sebarang rujukan kepada SIS (Sister In Islam) Forum Berhad berkaitan agama Islam.

Tegas Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, ia susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan SIS berkenaan bukan entiti yang menganut agama Islam.

"Bukan Islam tidak boleh mencampuri urusan Islam sebagaimana orang Islam tidak mencampuri urusan orang bukan Islam," katanya menerusi hantaran di laman sosial pada Khamis.

Terdahulu empat panel hakim bersidang yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan SIS.

Ia berhubung pertikaian keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, yang dikeluarkan dan diwartakan 11 tahun lalu.

Mahkamah memutuskan perkataan 'orang-orang yang menganut agama Islam' yang diguna pakai di dalam fatwa itu hanya boleh merujuk kepada orang-orang sebenar dan bukan orang-orang buatan seperti sebuah syarikat.

Pada 31 Julai 2014, fatwa tersebut mengisytiharkan bahawa SIS Forum serta individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme agama sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ia turut mengarahkan agar sebarang terbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural diharamkan serta dirampas, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarahkan untuk menyekat laman sesawang yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum syarak.