SHAH ALAM - Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada satu pembekal melalui kontrak bekalan pelbagai sumber dan rundingan antara kerajaan (G2G) bagi input strategik seperti baja, jagung dan soya.
Pengerusi Lajnah Pertanian dan Kelestarian Alam Sekitar (Latas) Pas, Datuk Dr Azman Ibrahim mendakwa, kelemahan terbesar sistem makanan Malaysia adalah terlalu bergantung kepada input import, khususnya bagi sektor ternakan dan ayam.
Menurutya, Malaysia bergantung hampir sepenuhnya kepada bahan makanan ternakan seperti jagung dan soya yang diimport dengan anggaran antara 98 hingga 100 peratus bagi komponen utama.
"Kebergantungan ini menjadikan sektor ternakan akan turut terkesan apabila sesuatu konflik berlaku seperti hari ini.
"Apa yang berlaku ini bukan sekadar tentang turun naik komoditi, sebaliknya ujian ketahanan (resilience) sistem pertanian dan keterjaminan makanan negara," ujarnya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Azman, Latas turut mencadangkan beberapa langkah konstruktif yang lain antaranya kewajaran kerajaan mewujudkan stok penimbal baja kritikal serta stok penimbal input makanan ternakan bagi komoditi utama bagi mengurangkan kejutan harga dan gangguan bekalan.
Jelas beliau, seterusnya kerajaan perlu menetapkan sasaran jelas untuk meningkatkan pengeluaran input tempatan.
"Selain itu, skim sokongan input bersasar berasaskan data. Subsidinya perlu bersasar kepada petani kecil dan pengeluar makanan asas, dengan asas kos operasi sebenar serta mekanisme penyaluran yang cepat dan telus.
"Kesimpulannya, lonjakan harga baja bukan isu bermusim. Ia isyarat bahawa sistem makanan Malaysia perlu diperkukuh sebagai agenda keselamatan ekonomi.
"Jika kerajaan mempercepatkan reform berstruktur bukan sekadar mengurus persepsi Malaysia berupaya mengurangkan tekanan harga makanan dan memperkukuh keterjaminan makanan yang lebih berdaulat demi kesejahteraan rakyat," ulasnya.
Mengulas lanjut beliau memberitahu Latas turut berpandangan, tindak balas krisis tidak boleh terbatas kepada 'pelan kecemasan' dan libat urus tanpa petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas.
Katanya, dalam krisis input pertanian, negara memerlukan indikator seperti sasaran harga rujukan baja, sasaran stok penimbal, tempoh penghantaran, serta mekanisme intervensi apabila harga melonjak.
"Kedua, pergantungan import makanan ternakan menuntut pelan pengurangan risiko yang lebih realistik dan berfasa bukan sekadar seruan umum agar rakyat bercucuk tanam," jelasnya.



