Kerajaan Perpaduan dijangka percepatkan inisiatif dasar agar fiskal jangka panjang negara mampan – Kenanga Research
diyana
14/08/2023 - 10:18
KUALA LUMPUR 14 Ogos - Kerajaan Perpaduan akan mempercepatkan inisiatif dasarnya, khususnya, rasionalisasi subsidi dan pembaharuan cukai bagi memastikan kemampanan fiskal jangka panjang negara, yang sepatutnya meningkatkan daya tarikan pasaran saham tempatan, kata Kenanga Research.
Susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) telah selesai baru-baru ini, firma penyelidikan itu berkata, dengan cengkaman Kerajaan Perpaduan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan kekal utuh, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus mendapat sokongan daripada parti komponen sedia ada dalam Kerajaan Perpaduan.
“Kami meningkatkan sasaran FBM KLCI sehingga akhir 2023 kami sebanyak 4% kepada 1,540 mata apabila negara dalam keadaan politik yang lebih tenang selepas pilihan raya negeri yang baharu sahaja selesai,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, dari segi rasionalisasi subsidi, firma itu berkata kerajaan telah mengumumkan pada akhir Jun 2023 bahawa surcaj 10 sen/kWj dikenakan kepada pengguna domestik yang menggunakan melebihi 1,500 kWj sebulan (bersamaan bil bulanan RM708), berkuat kuasa 1 Julai 2023.
“Kami percaya kerajaan berkemungkinan menaikkan surcaj dan/atau melanjutkan surcaj kepada pengguna domestik sederhana,” tambahnya.
Kenanga Research juga menjangkakan kerajaan melancarkan skim subsidi bahan api sasaran yang banyak diperkatakan, sama ada subsidi tunai kepada golongan berpendapatan rendah, atau beberapa bentuk diskaun ditawarkan kepada kumpulan itu di pam yang tertakluk kepada pengesahan elektronik tertentu.
“Penjimatan daripada rasionalisasi subsidi kemudiannya akan digunakan untuk penggunaan yang lebih produktif, iaitu pembangunan ekonomi termasuk perbelanjaan infrastruktur awam, pelaburan dalam modal insan termasuk pendidikan dan latihan dan sebagainya,” katanya.
Dari segi pembaharuan cukai, firma itu percaya beberapa bentuk cukai penggunaan bakal diperkenalkan semula akan menjadi kritikal, mungkin pada kadar yang tidak terlalu membebankan pengguna.
Jelasnya, ini akan membantu memperluaskan asas hasil cukai kerajaan, memberi ruang mengurangkan kadar cukai peribadi (bagi menarik dan mengekalkan bakat) dan kadar cukai korporat (untuk merangsang pelaburan kedua-dua perusahaan tempatan dan pelabur asing).
Memandangkan PRN sudah selesai, firma itu berkata pelabur akan mengalihkan perhatian mereka kepada laporan pendapatan korporat bagi suku kedua 2023 yang sedang berjalan, pelancaran projek awam ( MRT3 dan enam projek tebatan banjir), serta isu-isu makro seperti ekonomi China dan Amerika Syarikat. - DagangNews.com


