Kerajaan Perpaduan kekal kukuh, kerja keras untuk negara: PM

Politics
13 Aug 2023 • 1:20 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bermula Isnin, Kerajaan Perpaduan harus bekerja keras dan lebih tekun supaya Malaysia akan mencipta kejayaan yang dibanggakan.

Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam ini, Perdana Menteri itu berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri itu tidak memberi kesan kepada keutuhan Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan akan terus kekal dan kukuh selepas selesai PRN.

“Saya menghormati mandat rakyat. Bermula Isnin, kami akan terus bekerja, bukan seperti biasa, tetapi lebih tekun dan kuat supaya Malaysia akan mencapai kejayaan.

“Apa yang penting ialah kita memastikan rakyat kekal bersatu, memastikan keamanan dalam negara dalam usaha kita mengangkat martabat dan memperjuangkan masa depan negara,” katanya.

Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) menguasai tiga negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional kekal berkuasa di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Terdahulu, Anwar berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam memastikan proses pilihan raya berjalan lancar termasuk parti dari Sabah dan Sarawak yang menunjukkan sokongan walaupun tidak terlibat dalam pilihan raya ini.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan berkata, gabungan itu dan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan pilihan raya kali ini.

Katanya, mandat rakyat akan menjadi asas kolaborasi dalam Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan kerjasama bagi tempoh lima tahun lagi.

“BN mengucapkan tahniah kepada calon yang menang. Terima tanggungjawab ini untuk terus berkhidmat kepada rakyat. Bagi mereka yang tidak berjaya, jangan berhenti, tetapi teruskan berjuang untuk aspirasi rakyat." – 13 Ogos, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved