Kerajaan Persekutuan, Sarawak selesai mutlak pertikaian Petronas-Petros

LocalPolitics
21 May 2025 • 5:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan Persekutuan, Sarawak selesai mutlak pertikaian Petronas-Petros

image is not available

21/05/2025 - 17:42

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Abang Johari Openg memeterai deklarasi bersama bagi menyelesaikan pertikaian berkaitan Petronas dan Petros di Perdana Putra.

KUALA LUMPUR 21 Mei - Kerajaan Persekutuan dan Sarawak telah menandatangani satu deklarasi bersama bagi menetapkan parameter yang jelas serta rangka kerja kerjasama antara Petronas dan Petros dalam sektor minyak dan gas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menegaskan, peranan Petronas kekal utuh dan akan terus melaksanakan tanggungjawab nasionalnya, namun pada masa yang sama mengiktiraf peranan Petros.

Beliau berkata melalui pemeteraian deklarasi itu, kedua-dua peruntukan berkenaan akan dihormati dengan dua entiti dalam industri minyak terbabit akan bergerak bersama demi kepentingan bersama.

“Jadi, persefahaman yang telah kita capai ini memastikan operasi Petronas diteruskan, sambil mengiktiraf peranan Petros.

“Kedua-dua entiti ini kini akan bekerjasama secara erat untuk memajukan negara melalui industri minyak dan gas, sama ada dalam sektor huluan mahupun hiliran, serta dalam pelbagai inisiatif tenaga alternatif, seperti yang digariskan dalam pengisytiharan bersama kami,” katanya dalam sidang media bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg , hari ini.

Anwar berkata, deklarasi bersama itu pada asasnya bertujuan mewujudkan parameter jelas serta mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

“Ini bermakna situasi semasa menuntut kita mengakui Sarawak telah berkembang dan kini mempunyai keupayaan, termasuk menubuhkan syarikat minyak negeri sendiri.

“Aspirasi bersama kita, bukan sahaja untuk memperkukuh Petronas, tetapi juga untuk menjadikan Sarawak sebagai hab pelancaran bagi rantau ASEAN.

“Bagi saya, ini adalah pendekatan yang sangat realistik, dan ia akan membawa kepada kejayaan negara, hasil yang bermakna, serta peningkatan kedudukan ekonomi Sarawak,” katanya.- DagangNews.com

featured standard