Kerajaan sedang mempertimbangkan memberikan pampasan kepada keluarga wanita warga India yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, telah bertemu dengan keluarga mangsa dan mereka bersetuju untuk menghentikan usaha pencarian.
Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa. Namun, ahli keluarga mangsa masih belum bersedia untuk menerima khidmat tersebut.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) berlangsung selama sembilan hari sebelum dihentikan. Keputusan ini diambil atas pertimbangan keselamatan anggota dan keselamatan lokasi.
Meskipun pada awalnya keluarga mangsa berharap pencarian dapat diteruskan, mereka akhirnya menerima keputusan untuk menghentikan operasi SAR. Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy, juga menghargai usaha kerajaan dan memahami keputusan tersebut.
Keluarga mangsa dilaporkan telah kembali ke India semalam, Ahad, selepas melakukan upacara keagamaan dilokasi kejadian. Mereka turut mengambil segumpal tanah dan dimasukkan dalam plastik untuk dibawa pulang ke India.
23 Ogos lalu, G Vijaya Lakshmi, 48, dari Kuppam, Andhra, India, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.
Sumber: Berita Harian, Astro Awani, Harian Metro
The post Kerajaan pertimbang pampasan kepada keluarga mangsa tanah jerlus appeared first on The Reporter.



