Kerajaan pertimbang sekatan terhadap TikTok Shop
zulfadli
02/11/2023 - 10:01
KUALA LUMPUR 2 Nov - Kerajaan kini sedang meneliti cadangan untuk menyekat TikTok Shop, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
"Perkara ini masih dalam semakan, dan beberapa siri penglibatan telah dan akan dijalankan dengan pihak berkepentingan berhubung operasi TikTok Shop di Malaysia.
"Buat masa ini, kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung sekatan ke atas TikTok Shop," katanya pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat pada Rabu.
TikTok Shop ialah ciri pada aplikasi media sosial yang membolehkan penjual dan jenama menjual produk secara terus melalui video pendek, video langsung dan halaman pameran produk.
Pada 4 Oktober lepas, Indonesia menjadi negara pertama di dunia yang mengharamkan ciri itu di TikTok kerana ia melanggar undang-undang republik itu mengenai e-dagang, antara lain.
Sementara itu, Fahmi berkata, sejak Januari hingga 30 September tahun ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan kerjasama TikTok, telah menurunkan 2,783 kandungan di platform yang melanggar garis panduan kerana pelanggaran di bawah undang-undang sedia ada, lapor Malaysiakini.
"Tindakan telah diambil terhadap individu atau pengguna yang didapati memuat naik kandungan yang melanggar undang-undang di platform untuk mengawal dan mengekang penyebaran kandungan yang menyalahi undang-undang.
"Tindakan ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada dan dibuat berdasarkan aduan awam dan pihak yang terjejas," katanya. - DagangNews.com




