
BANGI: Kerajaan telah memperuntukkan RM64.8 juta kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tahun ini sebagai usaha mendukung pendidikan dalam kalangan anak-anak Orang Asli, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Ramlan Harun (gambar).
Beliau berkata peruntukan itu merangkumi perbelanjaan dari sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya ke institut pengajian tinggi (IPT) demi membantu masyarakat Orang Asli mendapatkan pendidikan yang sepatutnya.
“Antara yang diberikan ialah bantuan pengangkutan sebanyak RM36.9 juta, bantuan wang saku RM12 juta dan yuran pelbagai sebanyak RM638,000,” katanya pada Majlis Anugerah Murid Cemerlang Jakoa Tahun 2022 di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jakoa Sapiah Mohd Nor.
Ramlan berkata masyarakat Orang Asli mampu menguasai sehingga peringkat global jika mempunyai pemikiran, kefahaman dan hala tuju kehidupan yang jelas dan betul.
“Anak-anak masyarakat Orang Asli terutamanya di luar bandar dan pedalaman perlu diasuh melalui sistem pendidikan terbaik dan jadikan mereka insan baharu yang akan mengubah corak kehidupan masyarakat Orang Asli,“ katanya.
Ramlan berkata sehingga kini, terdapat sebanyak 751 pelajar Orang Asli yang sedang menuntut di IPT dalam pelbagai peringkat dan jurusan.
“Jika dilihat daripada jumlah tersebut, kita dapati bahawa masyarakat Orang Asli kini telah mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai kepentingan pendidikan.
“Kejayaan yang dicapai ini telah membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing dengan masyarakat yang lain dan tanggapan negatif bahawa masyarakat Orang Asli terlalu mundur adalah tidak benar,“ katanya.
Beliau berkata pada tahun lepas, sebanyak tujuh pelajar Orang Asli telah melanjutkan pelajaran ke luar negara di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam pelbagai bidang.
Bagi anak-anak Orang Asli yang tidak cemerlang dalam pelajaran, Ramlan berkata KKDW melalui Jakoa turut menawarkan peluang program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mereka memperoleh kemahiran praktikal yang berharga, memenuhi potensi pekerjaan dan memperluas peluang kerjaya.
“TVET adalah penting dalam memperkuat tenaga kerja dengan kemahiran yang relevan dan memenuhi permintaan industri. Dengan menyediakan akses kepada TVET, KKDW dan Jakoa amnya dapat memberi peluang untuk pembangunan individu serta perkembangan dan kemajuan komuniti Orang Asli secara keseluruhan,“ katanya.
Berhubung majlis hari ini, Ramlan berkata sebanyak 123 pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia diraikan. -Bernama


