Kerajaan potong separuh subsidi telur ayam bermula 1 Mei, sasar hapus sepenuhnya pada 1 Ogos 2025

LocalPolitics
30 Apr 2025 • 9:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan potong separuh subsidi telur ayam bermula 1 Mei, sasar hapus sepenuhnya pada 1 Ogos 2025

image is not available

30/04/2025 - 09:31

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 April — Kerajaan memutuskan untuk menamatkan kawalan harga telur ayam dan mengurangkan subsidi daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji, berkuat kuasa 1 Mei 2025.


Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, subsidi telur ayam yang diperkenalkan sejak 5 Februari 2022 itu akan turut dihapuskan sepenuhnya bermula pada 1 Ogos 2025.


Keputusan tersebut katanya, dibuat selepas mengambil kira komitmen industri memastikan pengeluaran telur yang mencukupi dan stabil, memandangkan kos pengeluaran telah pulih.


"Perkara ini terbukti semasa musim perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, apabila bekalan telur adalah kekal mencukupi dan harga bersaing,” katanya dalam satu kenyataan.


Bagi meminimumkan kesan itu katanya, ia akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memperkenalkan telur gred istimewa pada harga berpatutan.


Ia juga berkata, pengguna masih lagi boleh terus membeli telur pada harga yang kompetitif melalui siri program Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah di seluruh negara.


Pada 9 Oktober 2024, menterinya berkenaan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menamatkan langsung subsidi telur ayam sekiranya bekalan stabil.


Penjimatan daripada bantuan subsidi tersebut kemudiannya kata beliau, boleh dialihkan untuk rancangan kementerian itu membangunkan sektor agromakanan kritikal yang lain pula.


Pada Jun 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk menurunkan harga penjualan runcit telur gred A, B dan C sebanyak 3 sen.


Skim subsidi ini ketika itu melibatkan perbelanjaan keseluruhan RM100 juta. Kerajaan pada mulanya merancang untuk mengapungkan semula harga telur di seluruh negara pada Julai 2023.


Bagaimanapun langkah tersebut telah ditangguhkan kerana timbul kebimbangan meluas mengenai kemungkinan berlaku potensi kenaikan harga dan kesan kepada pengguna.


Antara Februari 2022 dan Disember 2024, hampir RM2.5 bilion dibelanjakan kerajaan membantu industri menguruskan kos pengeluaran tinggi akibat wabak Covid-19 dan perang Ukraine-Rusia.


Kementerian itu namun hari ini berkata, kerajaan menganggap kawalan harga dan subsidi berpanjangan tidak mampan untuk daya maju jangka panjang pengeluar dan tahap fiskal negara.


Ia berkata merasionalisasikan subsidi adalah pendekatan yang lebih adil, memandangkan pada masa ini subsidi itu turut dinikmati oleh warga asing dan kumpulan berpendapatan tinggi.


“Penjimatan daripada inisiatif ini boleh dialihkan untuk membiayai pelbagai projek yang disasarkan serta menggalakkan kesejahteraan awam, selaras dengan nilai Madani,” tambahnya.


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup juga akan meningkatkan pemantauan berterusan untuk membendung pencatutan dan manipulasi harga oleh peniaga tidak bertanggungjawab, katanya. - DagangNews.com

standard