
KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang merangka peraturan bagi memastikan platform media sosial tidak boleh diakses oleh pengguna di bawah umur 13 tahun dan wajib memastikan kandungan yang dipaparkan kepada pengguna di bawah umur 18 tahun adalah bersesuaian dengan tahap umur mereka.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, ketika ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan 10 perundangan subsidiari di bawah Akta 866.
Perundangan itu, katanya memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian termasuk kandungan yang bersesuaian dengan peringkat umur pengguna kanak-kanak.
Menerusi perundangan itu, pemberi perkhidmatan juga perlu menyediakan pilihan tetapan dan kawalan ibu bapa (parental control) selaras dengan garis panduan komuniti atau terma penggunaan mereka.
“Bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pemberi perkhidmatan dalam memenuhi obligasi keselamatan dalam talian mereka, pemberi perkhidmatan akan dikehendaki menyediakan suatu pelan keselamatan dalam talian mengenai pematuhan mereka terhadap kewajipan di bawah Akta 866.
“Kesemua undang-undang yang telah digubal ini adalah usaha berterusan kerajaan memastikan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna, terutama kanak-kanak dan keluarga serta golongan rentan yang terdedah kepada kemudaratan dalam talian,’’ katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang ingin mengetahui sama ada Kementerian Komunikasi bersedia untuk menggubal undang-undang bagi menyekat atau melarang remaja di bawah umur 16 tahun daripada menggunakan platform media sosial seperti FaceBook, Instagram, TikTok dan lain-lain.
Terdahulu, AFP melaporkan gergasi teknologi Meta telah mula menyingkirkan pengguna Australia berumur bawah 16 tahun daripada Instagram, Threads dan Facebook ketika negara itu bersiap-sedia untuk menguatkuasakan larangan media sosial untuk remaja, iaitu yang seumpamanya di dunia.
Di bawah undang-undang baharu yang akan berkuat kuasa pada 10 Disember, platform utama termasuk TikTok dan YouTube mesti menghalang pengguna bawah 16 tahun di Australia daripada mengakses perkhidmatan mereka atau berdepan penalti sehingga A$49.5 juta (RM134.6 juta).
Dalam pada itu, Fahmi berkata, kementeriannya menerusi MCMC sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia mengambil pendekatan menyeluruh bagi mengawal kandungan dalam talian yang memudaratkan serta melindungi golongan rentan, khususnya remaja dan kanak-kanak.
Bagi tujuan ini, katanya, beberapa undang-undang berkaitan telah digubal dan dilaksanakan termasuk menguatkuasakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan untuk memohon dan mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan setiap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang memenuhi keperluan pelesenan, bertanggungjawab dari segi kawal selia kandungan serta pengurusan algoritma.
“Bagi menyokong kerangka pelesenan ini, MCMC telah menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial.
“Kod ini menggariskan tanggungjawab penyedia perkhidmatan dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada kandungan yang memudaratkan, termasuk keperluan untuk melaksanakan langkah-langkah verifikasi umur, menyediakan tetapan kawalan bagi ibubapa atau penjaga yang efektif dan memperkasa fungsi untuk pengguna kanak-kanak melindungi diri mereka daripada kandungan mudarat,’’ katanya.
Kerajaan juga, katanya, telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] bagi mengawal selia kandungan memudaratkan dan mengadakan peruntukan bagi kewajipan dan obligasi pemberi perkhidmatan aplikasi, pemberi perkhidmatan aplikasi kandungan dan pemberi perkhidmatan rangkaian yang dilesenkan. - 4 Disember, 2025
The post Kerajaan rangka peraturan wajibkan platform papar kandungan sesuai umur bagi pengguna bawah 18 tahun appeared first on Scoop.


