Kerajaan Sabah tampung kos tambahan urus jenazah Awang Askandar

LocalPolitics
22 May 2023 • 5:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Armizan ketika mengadakan sidang video bersama Mohammad Ali dan Mohd Fazle.

PUTRAJAYA - Kerajaan Sabah akan membantu menampung kos tambahan yang diperlukan di luar tanggungan insurans bagi pengurusan jenazah Allahyarham Leftenan Kolonel Pertahanan Awam, Awang Askandar Ampuan Yaacub untuk memastikan jenazah dapat dikebumikan di kampung halaman di Papar, sebagaimana hasrat ahli keluarga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, komitmen itu dizahirkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam perbincangan bersamanya.

Menurutnya, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menyalurkan sumbangan untuk tujuan menambah tanggungan kos pengurusan.

"Mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui Yayasan Kebajikan Sabah (YKS)," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, jenazah Awang Askandar akan dibawa turun ke base camp pada jam 2 petang waktu tempatan oleh pasukan sherpa.

"Sebentar tadi saya telah mengadakan sidang video bersama Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar Negara, Datuk Mohammad Ali Selamat dan Kaunselor Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Mohd Fazle Abu Hasan.

"Pihak kedutaan juga memaklumkan bahawa jenazah Awang Askandar dijangka akan dibawa turun dari base camp ke Kathmandu pada keesokan hari apabila keadaan cuaca mengizinkan," katanya.

Awang Askandar, 56, yang juga Pengarah Pertahanan Awam Kedah meninggal dunia ketika misi pendakian Gunung Everest di Himalaya dan perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed selepas menerima makluman daripada Chef De Mission misi Malaysia Everest 2023 Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor.

ARTIKEL BERKAITAN: