Kerajaan salur bantuan ekonomi penduduk sempadan akibat penutupan jeti haram

LocalPolitics
6 Jun 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kerajaan salur bantuan ekonomi penduduk sempadan akibat penutupan jeti haram
Raja Nushirwan (tengah) bersama kenamaan bergambar dengan penerima kerusi roda dan tongkat.

TUMPAT – Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membincangkan langkah mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi bagi membantu penduduk kawasan sempadan yang terjejas susulan tindakan menutup dan merobohkan jeti haram di sepanjang Sungai Golok.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, perkara itu akan menjadi antara fokus utama dalam Mesyuarat Keselamatan Negeri Kelantan yang dijadual berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Ahad.

Menurut beliau, kerajaan mengambil serius isu jeti haram yang dikenal pasti sebagai ancaman keselamatan, khususnya melibatkan kegiatan penyeludupan rentas sempadan termasuk bahan api bersubsidi.

“Kerajaan Persekutuan dengan bantuan kerajaan negeri memberi penekanan terhadap isu jeti haram kerana ia merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

“Pada masa sama, kami juga memberi perhatian kepada pembangunan kawasan sempadan dengan mewujudkan aktiviti ekonomi untuk masyarakat tempatan yang terkesan,” katanya selepas merasmikan Program Kesepaduan Nasional@Tumpat di Wat Machimmaram di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, kerajaan perlu berlaku adil kepada penduduk yang tinggal di kawasan sempadan dan bergantung kepada aktiviti ekonomi setempat bagi menyara kehidupan.

Menurutnya, pendekatan yang diambil bukan sekadar tertumpu kepada penguatkuasaan, malah turut mengambil kira kebajikan dan sumber pendapatan masyarakat yang terjejas.

“Kami mahu membantu mereka yang terkesan dan perkara ini akan dibincangkan secara lebih mendalam bersama kerajaan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Raja Nushirwan memaklumkan sebanyak 91 jeti haram yang dibina di atas tanah kerajaan selesai dirobohkan sejak operasi dilaksanakan pada 29 April lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan jeti yang dikenal pasti di kawasan sempadan adalah sebanyak 216, namun sebahagiannya berada di atas tanah milik individu.

“Bagi jeti di tanah kerajaan, operasi perobohan selesai dilaksanakan, namun masih terdapat beberapa jeti di tanah persendirian yang sedang diperhalusi mengikut peruntukan undang-undang dan prosedur berkaitan.

“Perkara itu melibatkan penelitian bersama agensi berkaitan termasuk Pejabat Tanah dan Galian,” katanya.

Tambah beliau, usaha mengekang penyeludupan terus menjadi keutamaan kerajaan ketika negara berdepan cabaran geopolitik semasa yang boleh memberi kesan kepada bekalan dan ketirisan bahan api bersubsidi.