Kerajaan Sarawak Bakal Laksana Pelarasan Gaji Penjawat Awam

16 May 2024 • 8:41 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Pelarasan gaji selaras dengan Kerajaan Persekutuan

Kerajaan Sarawak Bakal Laksana Pelarasan Gaji Penjawat Awam. Kerajaan Sarawak akan melaksanakan pelarasan gaji bagi Penjawat Awam Sarawak selaras dengan langkah yang diambil oleh kerajaan persekutuan. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyatakan bahawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sangat menghargai komitmen dan pengorbanan seluruh Penjawat Awam Sarawak.

“Dua minggu lalu, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan kenaikan gaji melebihi 13 peratus untuk Penjawat Awam Persekutuan, bermula Disember tahun ini. Kerajaan GPS menerima baik pengumuman ini dan akan melaksanakan pelarasan gaji untuk Penjawat Awam Sarawak kerana kami sangat menghargai komitmen dan pengorbanan mereka,” ujarnya dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

image is not available
Kerajaan Sarawak Bakal Laksana Pelarasan Gaji Penjawat Awam. Sumber: Utusan Borneo

Abang Johari menambah bahawa kerajaan negeri sedang menjalankan kajian terperinci mengenai pelarasan gaji Penjawat Awam Sarawak agar ia lebih kompetitif, selaras dengan tugas dan tanggungjawab mereka serta kekuatan kewangan kerajaan Sarawak.

“Insya-Allah, saya akan mengumumkan hasil kajian ini dalam tempoh terdekat, tertakluk kepada perincian pelarasan gaji yang akan dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan yang dijangka diketahui hanya dalam bajet persekutuan hujung tahun ini,” katanya.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus mulai 1 Disember depan semasa menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Perdana Menteri menjelaskan bahawa sebelum ini, kenaikan gaji penjawat awam paling tinggi adalah pada kadar 13 peratus, namun kerajaan MADANI akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.

“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus, dan tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus. Kita akan melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam mulai 1 Disember tahun ini… sebab saya sudah berjanji,” katanya.

Anwar juga menjelaskan bahawa pelarasan gaji penjawat awam itu akan melibatkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion, menjadikannya kenaikan terbesar dan terbaik dalam sejarah negara. Dengan pelarasan tersebut, pendapatan minimum penjawat awam, termasuk gaji dan elaun tetap, akan melebihi RM2,000 sebulan.

Baca lagi artikel menarik: