Kerajaan Sarawak gesa Twig Events saman penerbit konsert Air Supply ekoran pembatalan saat akhir di Kuching

29/09/2025 - 17:50
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 29 Sept – Penganjur konsert Air Supply 50th Anniversary Tour di Kuching, Twig Events digesa mengambil tindakan undang-undang ekoran pembatalan yang diumumkan pada saat-saat akhir.
Gesaan itu dibuat Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang menyifatkan perkara itu sangat tidak profesional dan mengecewakan banyak pihak.
“Penganjur perlu menyaman penerbit kerana banyak persiapan telah dibuat.
“Hanya di mahkamah nanti, kita akan tahu apa alasan sebenar di sebalik pembatalan tersebut dan siapa yang bersalah di sebaliknya.
“Saya juga bersedia untuk menjadi saksi sekiranya diperlukan nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Konsert Air Supply 50th Anniversary Tour di Kuching itu dijadualkan berlangsung pada 24 September 2025 namun dibatalkan beberapa jam sebelum melalui pengumuman di Facebook.
Tambahnya, pembatalan secara tiba-tiba itu menyebabkan kerugian besar terutama kepada ribuan peminat Air Supply yang telah memperuntukkan sebahagian kos untuk belanja perjalanan dan penginapan.
Dalam pada itu, pengurus acara Twig Events, Wong Ai Ning berkata, pihaknya telah bekerja tanpa henti sejak beberapa bulan sebelum acara untuk memastikan persediaan pentas, bunyi, pencahayaan, tempat duduk, keselamatan dan logistik berjalan lancar.
“Semua persiapan akhirnya sia-sia apabila pembatalan diumumkan antara pukul 3 hingga 4 pagi pada hari konsert.
“Aduan rasmi sudah dibuat kepada Arts, Live Festivals and Events Association (ALIFE) dan menekankan perlunya prosedur lebih jelas bagi mengelakkan kejadian serupa,” katanya.
Sementara itu, penyanyi utama Air Supply, Russell Hitchcock dilaporkan berkata, pembatalan itu bukan berpunca daripada mereka dan memaklumkan sedang berusaha menetapkan tarikh baharu.- DagangNews.com
standard
