Kerajaan sasar cipta 1.2 juta peluang kerja baharu dalam TVET, kata Perdana Menteri

21/08/2025 - 14:54
Gambar arkib Pejabat Perdana Menteri Oleh HAMDEN RAMLI
KUALA LUMPUR 21 Ogos - Kerajaan mensasarkan untuk mencipta 1.2 juta peluang pekerjaan baharu dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya , ini termasuk 700,000 dalam sektor pembuatan dan 500,000 dalam ekonomi digital.
"Sewaktu membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), saya maklumkan bahawa Kerajaan MADANI konsisten untuk memperkukuh TVET agar relevan dengan keperluan semasa merangkumi bidang digital, teknologi tinggi.
"Kerajaan juga mahu memperluaskan akses kepada golongan luar bandar, asnaf dan komuniti tahfiz," kata Perdana Menteri dalam hantaran terbaharu di Facebooknya hari ini.
Beliau menambah, 95.6% graduan TVET kini bekerja dalam tempoh enam bulan, dengan 212,000 kemasukan baharu pada 2024.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada kumpulan tenaga kerja mahir TVET ini yang disifatkannya sebagai pemangkin utama kemajuan negara.
"Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, jangan lepaskan peluang bagi bersama-sama menyemarakkan dan menjadikan gerakan ini sebagai wadah untuk lebih mendalami erti kesejahteraan, pengorbanan dan keunikan kepelbagaian yang menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia," katanya. - DagangNews.com

standard



