

Nampaknya, kerajaan sedang memuktamadkan parameter utama bagi cadangan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG), dengan diterajui sektor swasta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) telah menilai tujuh cadangan konsep yang diterima daripada firma dan konsortium tempatan serta antarabangsa menerusi proses Permintaan Maklumat (RFI).

"Pada masa ini, kementerian bersama kementerian dan agensi berkaitan sedang memuktamadkan parameter utama bagi cadangan pelaksanaan projek HSR secara berasaskan swasta.
"Parameter ini akan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan.
"Perincian lanjut mengenai konsortium yang disenarai pendek, kaedah pembiayaan dan kajian model projek akan diteliti dalam fasa seterusnya yang akan melibatkan proses Permintaan Cadangan (RFP)," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin (17 Februari).
Beliau berkata demikian menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang meminta perkembangan terkini mengenai projek itu susulan keputusan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) untuk menarik diri daripada konsortium yang diketuai Berjaya Rail Sdn Bhd (Berjaya).
