Kerajaan Sedia Bincang Pinda RUU Anti Lompat Parti – PM

Politics
12 Jul 2024 • 5:09 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedia berbincang untuk meminda Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti bagi menutup kelompongan pada undang-undang tersebut.

Menerusi satu laporan Free Malaysia Today, Anwar berkata, pindaan akta itu boleh dibincangkan sekali gus memberitahu perkara mengosongkan kerusi DUN atau Parlimen mereka yang disingkirkan daripada parti sudah pun dicadangkan Pakatan Harapan (PH) semasa berada dalam parti pembangkang sebelum ini.

image is not available

Foto: Free Malaysia Today

“Tapi tidak dipersetujui oleh kerajaan masa itu Bersatu, sebab masa itu orang Umno masuk parti dia.

“Dahulu dia menentang, ramai tak tahu PH usul supaya siapa sahaja ditolak parti automatik gugur (kerusi) tetapi dia tolak sehingga kita tolak ansur dan jadi undang-undang sekarang,” katanya.

image is not available

Foto: NSTP

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan agar enam Ahli Parlimen yang keluar daripada parti Bersatu tidak perlu mengosongkan kerusi mengikut Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik pada Selasa lalu.

Keenam-enam penyandang kerusi tersebut adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

image is not available

Foto: Astro Awani

“Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Zahari, Azizi, Syed Hussin, Iskandar Dzulkarnain dan Dzulkafperi yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden BERSATU Muhyiddin Yassin pula menyifatkan keputusan Johari tersebut bercanggah dengan peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan dan akan dicabar di mahkamah.

Sumber: Free Malaysia Today (Elill Easwaran)