Kerajaan sentiasa buat susulan terhadap pelaburan asing

27 Oct 2022 • 3:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri, melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID), sentiasa membuat susulan perkembangan pelaburan asing bernilai berbilion ringgit di Sabah, termasuk pelabur Korea Selatan SK Nexilis.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, ini termasuk perkembangan pembinaan kilang mereka serta menyelaras dan menyelesaikan semua isu berbangkit sepanjang fasa pembinaan dan operasi kilang.

Ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memastikan Sabah kekal sebagai destinasi mesra-pelabur, katanya, ketika melawat tapak SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, Selasa lepas.

Mengucapkan terima kasih kepada SK Nexilis atas pelaburan RM4.2 bilion dalam pembangunan kilang kerajang tembaga di KKIP, Dr Joachim berkata pelaburan itu bukan sahaja mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi Sabah, khususnya sektor perindustrian, tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat di Negeri itu.

“Kerajaan Negeri amat berterima kasih atas komitmen yang diberikan oleh SK Nexilis Malaysia untuk menggaji seramai mungkin rakyat tempatan Sabah untuk operasi kilang pada masa hadapan.

“SK Nexilis Malaysia bukan sahaja komited untuk menggaji seramai mungkin warga tempatan Sabah tetapi juga meningkatkan keupayaan pekerja tempatan dengan menghantar 43 jurutera untuk mengikuti kursus lanjutan di SK Nexilis Korea Selatan baru-baru ini.

“Difahamkan lebih ramai pekerja tempatan akan diberi peluang dan dihantar untuk mengikuti kursus lanjutan di SK Nexilis Korea Selatan bagi menimba ilmu dan meningkatkan keupayaan mereka,” katanya.

Dr Joachim turut menggesa semua agensi berkaitan untuk sentiasa membantu memudahkan dan menyelesaikan sebarang isu yang dihadapi SK Nexilis Malaysia, termasuk menyegerakan dan memudahkan segala urusan melibatkan SK Nexilis Malaysia bagi memastikan kelancaran pembinaan dan operasi kilangnya.

“Kerjasama semua agensi berkaitan sudah pasti akan membuka peluang dan meningkatkan keyakinan SK Nexilis Malaysia untuk terus melabur dan mengembangkan perniagaan mereka di Sabah,” katanya.

Beliau mengingatkan semua agensi untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada SK Nexilis Malaysia demi manfaat semua.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SK Nexilis Korea Selatan, Shin Dong Hwan dan Setiausaha Tetap MID Datuk Thomas Logijin selain pegawai kanan dari agensi negeri dan persekutuan berkaitan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.