
SERDANG - Kerajaan serius dalam melaksanakan transformasi digital negara dan ingin memastikan rakyat menyedari sepenuhnya inisiatif berhubung perkara itu sekali gus menjadi celik digital serta celik kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita tidak ada pilihan selain memastikan rakyat menyedari sepenuhnya apa yang saya sebut sebagai celik digital dan celik AI,” katanya kepada media selepas melancarkan program AI Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.
AI Untuk Rakyat adalah program pembelajaran kendiri dalam talian yang direka untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI.
Susulan peluncuran program itu, Anwar menyasarkan sejuta pengguna menjelang akhir tahun ini.
Dilaporkan bahawa sektor digital Malaysia memberikan sumbangan yang signifikan iaitu 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar manakala impak ekonomi digital dijangka terus meningkat dan diunjurkan menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada ekonomi negara pada 2025 serta mewujudkan hingga 500,000 peluang pekerjaan. - Bernama
AKAN MENYUSUL

